Sunday, September 4, 2011

'Menang tulis sejarah, kalah buat puisi'

Tuan Ibrahim Tuan Man
Sep 3, 11
11:09am
http://www.malaysiakini.com/news/174698
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5200-bagaimana-agaknya-umno-tulis-sejarah-anwar


Menang tulis sejarah, kalah buat puisi'

Kata-kata sinis itu menggambarkan betapa sukarnya mencari penulisan sejarah oleh manusia yang jujur, kerana majoriti penulis sejarah menulis dari perspektif di pihak mana mereka berada dan ada yang menulis di bawah kawalan ketakutan dan telunjuk golongan berkuasa.

NONEUmum dan rata-rata sebenarnya menyedari bahawa penulisan sejarah akan menyebelahi golongan yang akhirnya mendapat kuasa atau golongan yang menang.

Manakala bagi golongan yang kalah pula, sejarah yang ditulis, terutamanya apabila bercanggah fakta dengan sejarah golongan yang menang, mereka tidak berani untuk berterus-terang untuk menyerang penulisan sejarah golongan yang berkuasa pada ketika peristiwa tersebut berlaku kerana kebesaran risiko dan tekanan yang mereka terpaksa hadapi.

Bahkan, ada mereka yang berani, namun lazimnya sejarah yang ditinggalkan mereka akan dihapuskan oleh golongan yang menang supaya generasi seterusnya hanya terus mengagungkan dan mengenangkan jasa golongan yang menang demi kepentingan masing-masing.

may 13 books 121007Akibatnya golongan yang tertewas ini lebih selesa menulis puisi, cerpen dan novel bagi meluahkan bantahan dan penentangan mereka terhadap satu-satu isu atau tohmahan yang dilemparkan kepada mereka. Maka lahirlah kata-kata sinis "yang menang tulis sejarah, yang kalah membuat puisi".

Sejarah, sifatnya ialah peninggalan untuk dinilai, difahami, dipelajari dan diambil iktibar terhadap sesuatu yang pernah berlaku, jarang sekali ia adalah untuk mencari kesalahan mana-mana pihak ketika peristiwa sejarah tersebut berlaku.

Tidak boleh dibahas

Namun, segalanya menjadi terbantut apabila fakta sejarah yang ditinggalkan tidak boleh dibahaskan, tidak boleh dicabar dan tidak boleh dibincangkan secara akademik, terutamanya apabila muncul dua-tiga versi fakta sejarah yang bercanggah mengenai sesuatu peristiwa.

Akibat penulisan sejarah yang tidak tepat itulah, timbulnya usaha untuk menilai semula, membahas, perbincangan ilmiah dan diskusi mengenai satu-satu fakta sejarah dari pelbagai sudut.

NONENamun, harus diingat, perkara yang paling malang dalam proses penulisan sejarah berkisar kepada mereka yang telah tiada untuk membela diri mereka terhadap penulisan yang tidak tepat terhadap mereka dalam penulisan sejarah, yang lumrahnya ditulis oleh golongan yang menang.

Kemunculan waris-waris untuk membela bagi pihak bapa, ibu atau waris mereka juga menambahkan warna-warni kepada perdebatan bahan sejarah – namun, apakah ia tepat? Sudah tentu, ia masih boleh dipertikai lagi.

Secara tidak sedar, rakyat dan negara kini sedang mencipta dan mencatitkan sejarah tersendiri.

Apakah sejarah yang sedang kita lakar kini, sebagai contoh apa yang berlaku 20 tahun yang lalu untuk generasi masa depan, akan atau telah dibuat secara jujur?

Jawapannya masih sama, ia tidak jujur kerana adanya kepentingan golongan pemerintah dalam menjaga minda generasi seterusnya pada waktu ini, dengan anggapan bahawa mereka akan kekal berkuasa.

anwar release 020904 husband and wifeSebagai contoh, sejarah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya dibahas pada masa hadapan, apakah versi yang bakal dicatat dalam sejarah?

Kita tidak perlu melihat jauh, untuk seseorang yang pernah menjadi timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri suatu waktu dahulu, sekarang sudahpun ditulis dan digerombol oleh pihak pemerintah dalam wajah baru sebagai pengkhianat, penentang kerajaan dan selainnya sekiranya akhbar-akhbar pro-kerajaan pemerintah kini dijadikan rujukan sejarah pada masa hadapan.

Dilenyapkan dari sejarah

Mana catatan terhadap jasa beliau dalam membangunkan negara, malah memajukan Umno suatu masa dahulu? Adakah ia akan dicatat dalam sejarah kerajaan BN, atau akan dipadamkan begitu sahaja? Adakah dalam carta sejarah kepimpinan Umno, gambar timbalan Tun Dr Mahathir Mohamad ini pada 1990-an akan dihilangkan begitu sahaja dalam sejarah?

Sejarah apa pula mengenai beliau yang akan dituliskan dalam buku sejarah yang bakal diajar kepada pelajar pada masa depan?

pas muktamar 2004 290804 hadi with nik azizDemikian juga dengan sejarah presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai menteri besar Terengganu yang cuba dibuang dari sejarah, sehinggakan gambar beliau sebagai menteri besar cuba dihilangkan.

Inilah realiti dalam permainan penulisan sejarah manusia oleh golongan yang menang, yang menjadi punca utama pahlawan-pahlawan negara yang bangun berjuang bermati-matian seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Datok Bahaman di Pahang, Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan, Datuk Maharajalela dan Si Puntong di Perak, Dol Said di Negeri Sembilan/Melaka dan puluhan pimpinan yang lain yang kini lenyap dari sejarah.

Yang muncul, dicatat, dihargai malah tidak boleh dipertikaikan hari ini hanyalah pejuang yang diterima oleh Inggeris dalam sejarah penjajahan mereka terhadap Tanah Melayu.

communist insurgents in malaya 240609 Sesiapa yang ingin mengungkit semula jasa golongan yang tertewas, walaupun jasa mereka berharga akan terus dicop sebagai pengkhianat atau penyokong golongan tertentu dan cuba mengubah sejarah negara oleh pihak pemerintah.

Benarlah juga, mereka yang diterima sebagai pejuang oleh penjajah Inggeris ada jasa dalam usaha memerdekakan negara; namun namun pada masa yang sama benarlah juga ungkapan di atas "Yang menang tulis sejarah, yang kalah membuat puisi".

Janganlah kita lupa pula dengan pejuang rakyat yang tidak diiktiraf, malah digelar sebagai pengganas oleh pihak penjajah atau golongan pemenang, mereka juga ada jasanya yang patut dimartabatkan dalam sejarah negara.

NONEBiarlah para pembaca sejarah menilai kedudukan tokoh-tokoh negara pra-kemerdekaan yang tercatit dalam sejarah ini secara peribadi dengan fakta sejarah yang cukup – walaupun kesudahan tafsiran mereka mungkin bercanggah dengan versi sejarah yang dihasratkan, pihak pemerintah dinasihatkan jangan pula cepat mencela mereka ini.

Kerana ini adalah fenomena yang bagus untuk negara yang menunjukkan rakyat semakin matang dalam mengkaji maklumat yang diterima mereka sebelum menerimanya bulat-bulat tanpa soal selidik seperti dulu.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man adalah ketua penerangan PAS dan pesuruhjaya PAS Pahang.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang

No comments:

Post a Comment