Thursday, July 12, 2012

Dipukul polis walaupun ikut arahan - saksi


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/11607-dipukul-polis-walaupun-ikut-arahan-saksi

Hazayani Zakaria,11 Jul 2012
KUALA LUMPUR, 11 Julai: Seorang lagi saksi memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bahawa beliau dipukul lapan hingga sepuluh orang polis dalam perjalanan pulang selepas menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Arsyad Abas, 32 berkata, walaupun beliau menurut arahan polis supaya menukar baju T Bersih kepada baju T biasa, beliau tetap dipukul di kawasan Masjid India sebelum diheret ke Kelab Diraja Selangor, Dataran Merdeka.

"Saya sudah bagitahu saya dalam perjalanan pulang, tapi mereka terus memukul saya. Saya dalam keadaan duduk dan nak tukar t-shirt kuning saya kepada t-shirt biasa, jadi saya tak nampak muka polis yang memukul tapi saya tahu minimum lapan orang polis," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Menurut Arsyad lagi, polis turut menyelongkar begnya dan mengambil barang-barang peribadinya berupa Samsung Tab 7.0, jam tangan, pemacu kilat USB (pendrive),  dan baju T yang belum sempat ditukar.

"Barang-barang saya pun turut dikebas polis tapi beg masih ada dengan saya," katanya sambil menambah beliau tidak mendapat kembali barang-barangnya itu sehingga hari ini.

Sewaktu diheret ke Dataran Merdeka, polis katanya turut menggelarkan beliau dan yang lain sebagai 'barua Anwar'.

Terima lima jahitan

Sebelum dimasukkan ke dalam lori polis, Arsyad memberitahu, beliau ditumbuk di muka menyebabkan kening kanannya pecah dan terpaksa menerima lima jahitan.

Gambar mukanya yang berlumuran darah dan  baju T yang bertompok darah juga ditunjukkan sewaktu pendengaran.

Dakwa Arsyad, polis seperti melepaskan geram kepadanya selepas mendengar khabar angin kononnya salah seorang daripada anggotanya meninggal dunia ketika bertugas di perhimpunan Bersih.

"Saya pun terkejut bila polis beritahu saya, mereka bertindak demikian sebab salah seorang anggotanya meninggal dunia," katanya.

Beliau bersama yang lain dibawa ke Pulapol dan pihak sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) membawa semua mangsa yang cedera ke hospital Besar Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Hari ini merupakan hari kedua pendengaran awam di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Karya disekat, mahu diberi anugerah pula - Zunar


http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/11618-karya-disekat-mahu-diberi-anugerah-pula-zunar

Harakahdaily,12 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkefli Anuar Ulhaq menolak anugerah dan tropi bernilai RM10,000 dari Perdana Menteri berdasarkan prinsip.

(Zunar dengan karya-karyanya)

"Bagaimana mungkin saya menerima anugerah dari Perdana Menteri sedangkan di bawah pemerintahan beliau hak dan kebebasan saya sebagai kartunis dinafikan," kata Zunar dalam kenyataannya.
Beliau mengulas kenyataan beberapa rakan kartunis yang mengkritiuk beliau kerana menolak anugerah itu.

Sinar Harian dan Utusan Malaysia bertarikh 11 Julai yang menyiarkan artikel bertajuk "Kartunis Zunar didakwa Keliru" serta "Kartun bukan Platform Kutuk Pemimpin".

Dalam laporan tersebut, kartunis-kartunis tempatan mengkritik beliau, antara lain kerana menolak anugerah yang bakal disampaikan oleh Perdana Menteri serta pendirian politik dalam karya beliau.

Sejak mula berkarya, kata Zunar, beliau tidak pernah berhasrat untuk mengkritik karya atau pendirian sesama kartunis kerana itu bagi beliau tidak wajar.

"Namun kerana ia dibangkitkan, saya perlu memberi penjelasan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 20 Jun lepas, Kelab Putra Malaysia bersama beberapa pertubuhan menganjurkan program "Anda, PM & Kartunis" di Pasar Seni.

Bebarapa kartunis tempatan, termasuk Zunar ditawarkan anugerah berupa trofi dan wang tunai RM10,000.

Anugerah ini bakal disampaikan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak.

"Memang saya menolak anugerah ini, tetapi saya tidak keliru malah penolakan ini atas soal prinsip berdasarkan fakta-fakta," kata Zunar.

Pada September 2010, Zunar ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap beberapa jam sebelum pelancaran buku "Cartoon-O-Phobia".

Beliau disiasat di bawah Akta Hasutan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun jika disabit kesalahan.

Pejabat beliau di Brickfields telah dua kali diserbu, manakala lebih 500 buah bukunya dirampas ketika serbuan tersebut.

Selain itu, enam buah buku-buku kartun beliau diharamkan sejak 2009, iaitu Gedung Kartun, Perak Darul Kartun, Isu Dalam Kartun edisi 1, 2 dan 3 serta 1Funny Malaysia.

"Tidak cukup dengan itu, kilang-kilang pencetak yang mencetak buku saya diugut penarikan lesen, begitu juga kedai-kedai yang menjual buku saya di seluruh Malaysia," cerita Zunar.

Beliau mahu kerajaan mengembalikan hak-haknya sebagai kartunis.

"Tanpa mengembalikan hak-hak saya, anugerah dan wang tunai tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai, malah tidak keterlaluan kalau saya anggap itu sebagai 'gula-gula pelembut sahaja," katanya.

Zunar juga didakwa berat sebelah dan sepatutnya berkecuali dalam berkarya.

"Ingin saya jelaskan pendirian bahawa apabila kezaliman berlaku, kita wajar memihak dan membela pihak yang dizalimi. Berkecuali bererti menyokong pihak yang zalim," katanya.

Beliau juga berkata, konflik yang berlaku bukan soal pertembungan politik antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional, tetapi jauh lebih besar.

"Iaitu antara rakyat menentang pemerintah yang zalim. Dalam konteks saya, kartunis menentang pemerintah zalim," tegasnya.

Zunar adalah salah seorang kartunis politik di Malaysia.

Tahun lepas beliau dianugerah "Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011" oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa, Washington.

Beliau juga mengadakan pameran kartun di Bilbao, Sepanyol dan di London hujung tahun lepas dan awal tahun ini.

Syria dan demokrasi


  • Hishamuddin Rais
  • 6:05PM Jul 11 2012
 
Kuasa imperial Amerika syarikat sedang merancang untuk menyerang Iran atas alasan Iran sedang berusaha untuk membuat senjata bom nuklear. Ini agak senang difahami. Amerika sedang menyerang Pakistan untuk menafikan Pakistan dari terus dimiliki bom nuklear. Ini mungkin agak susah sedikit untuk difahami.

Kuasa imperial Anglo-Amerika ingin menyerang Syria kerana projek New World Order. Ini lagi ramai yang tidak faham. Ini lagi susah untuk difahami. Justeru, apa yang berlaku di Syria pada ketika ini telah melahirkan banyak kejulingan. Kejulingan yang jelas ialah kejulingan intelektual di kalangan masyarakat Melayu.

Kejulingan intelektual ini lahir dari kegagalan memahami asas politik. Kejulingan ini lahir kerana sikap malas membaca. Sikap malas berfikir. Sikap mengambil jalan pintas tanpa membuat penyelidikan sendiri.

Kejulingan ini juga lahir kerana telah ditanamkam sikap "budaya wajib mendengar" dari benggolan-benggolan yang dikatakan memiliki ‘autoriti'. Benggolan-benggolan yang tahu bahasa sekian sekian sahaja yang memiliki tauliah untuk bercakap. Benggolan-benggolan yang berat serbannya sekian sekian sahaja yang pandangan boleh didengar. Akhirnya tertanam sikap suka mendengar. Sikap suka mendengar ini telah membunuh sikap suka membaca dan suka mengkaji serta menyelidik.

Hasilnya, sikap malas membaca ini melahirkan ramai tukang ikut dan ramai tukang sorak. Tukang sorak dan tukang ikut ini sebenarnya telah lama pencen dari menggunakan akliah dan fikrah mereka. Apabila telah pencen maka apa yang tersimpan di belakang dua telinga itu tidak lagi memiliki kudrat untuk menjadi gersang dan kritikal. Kegersangan untuk berfikir ini telah dilepaskan kepada benggolan-benggolan yang dikatakan bertauliah.

Biar saya jelaskan di sini bahawa apa yang berlaku di Syria bukan tentang konflik agama. Bukan konflik mahzab Sunni dengan Syiah. Bukan konflik mahzab Alawite dengan Sunah wal Jamaah. Atau konflik Islam dengan Kristian.

Memang sahih, wujudnya konflik antara Syiah dan Sunni. Memang betul kerajaan yang dipimpin oleh Bashar ini tidak demokratik. Memang betul ada gerakan rakyat yang menuntut agar ruang demokrasi dibesarkan lagi. Elit politik di Syria sama seperti elit politik di Malaysia atau elit politik dalam negara dunia. Mereka zalim, ganas, rasuah dan rakus merembat harta kekayaan negara. Kezaliman dan penyempitan hak kebebasan warga ini adalah watak elit politik dunia ketiga.

Memang betul pada awalnya ada kumpulan yang menuntut agar kebebasan dan ruang demokrasi di Syria diperluaskan. Ini sama seperti tuntutan warga Malaysia yang mahu negara ini lebih bebas dan lebih demokratik. Tidak mahu penipuan dalam pilihan raya. Semua ini adalah asas perjuangan warga dari negara dunia ketiga.

Untuk memahami lebih mendalam maka saya terpaksa membuka minda pembaca untuk memahami teori kontradiksi. Kontradiksi adalah hukum alam semula jadi. Ia sama seperti oksigen, ertinya kontradiksi wujud bersama kita. Tanpa kontradiksi alam ini tidak mungkin wujud. Sama ada negara itu penuh dengan kafir atau penuh dengan penganut Islam atau penuh dengan warga yang tidak percaya kepada Tuhan - kontradiksi terus wujud.

Kontradiksi tidak beragama. Tidak berbahasa. Dalam sistem ekonomi kapitalis atau ekonomi sosialis kontradiksi wujud. Alam bergerak kerana kontradiksi. Dalam kontradiksi ada pergeseran. Pergeseran dan percanggahan inilah yang mengerakkan alam kita ini.

Kontradiksi ini juga bertahap-tahap. Ada yang fundamental, ada yang tahap kedua dan ada yang kurang penting. Kontradiksi ini berubah-ubah. Contoh terbaik, dalam sejarah perjuangan orang yang terdahulu dari kita ketika perang dunia ke dua. Ketika itu Tanah Melayu sedang dijajah oleh British. Inilah kontradiksi utama. Kontradiksi - pertentangan antara warga Tanah Melayu dengan penjajah.

Tetiba Jepun datang menyerang. British yang menjadi musuh utama telah menjadi musuh ke dua. Yang wajib dilawan ialah tentera Jepun. Malah kontradsiksi dengan British menjadi luntur sehinggakan ada kerjasama antara warga Tanah Melayu dengan British untuk melawan kontradiksi yang fundamental: penjajah Jepun.

Begitu juga di Syria sekarang. Pada awalnya kaum demokrat Syria telah bangun menuntut demokrasi. Tetapi agenda suci rakyat Syria ini telah diambil alih oleh kuasa imperial Anglo-Amerika. Justeru kontradiksi yang wujud di Syria hari ini bukan antara Sunni dengan Syiaa. Bukan antara Islam dengan Kristian. Bukan antara presiden Bashar yang bermazhab Alawite dengan majoriti warga yang bermazhab Sunni.

Kontradiksi utama atau pergeseran utama pada ketika ini antara rakyat Syria dari semua mahzab agama dengan kuasa imperialis Anglo-Amerika. Silap memahami kontradiksi fundamental ini maka akan silaplah semua analisa politik. Akan bertaburan segala hujah. Tidak akan dilihat satu kesatuan fikrah yang tersusun dalam menganalisa situasi di Syria. Inilah yang melahirkan kejulingan pandangan terhadap apa yang sedang berlaku di Syria.

Pasti para pembaca akan bertanya kenapa kuasa imperial Anglo-Amerika melakukan semua ini? Apa sebenarnya yang diperlukan oleh kuasa imperial Anglo-Amerika ini? Jawapannya ialah kuasa imperial Anglo-Amerika ialah kuasa imperialis. Imperialisme ini ialah tahap yang paling tinggi yang boleh dicapai oleh sistem kapitalis.

Sistem ekonomi kapitalis yang bertuhankan keuntungan maksima memerlukan bahan mentah, buruh dan pasaran. Sistem ekonomi kapitalis selama 150 tahun ini telah bergerak dengan jayanya dengan bantuan bahan bakar petrol. Tanpa bahan bakar ini sistem ekonomi kapitalis akan runtuh berderai.

Justeru wajib disedari jika Iraq hanya mengeksport petai, jering dan cencaluk pasti Iraq tidak akan diserang. Jika Iran hanya memiliki budu dan tidak memiliki bahan bakar petroleum dan gas maka Iran tidak akan diserang.

Pasti akan ada pembaca yang bertanya, Arab Saudi juga ada minyak kenapa tidak diserang. Qatar juga ada minyak kenapa Qatar tidak diserang? Malaysia dan Brunei juga ada minyak kenapa tidak diserang? Jawabnya cukup senang. Rejim Arab Saudi dan Qatar ini adalah barua kepada Amerika. Malah tidak perlu diserang kerana telaga minyak di Saudi dan Qatar adalah milik Amerika.

Bagitu juga Malaysia dan Brunei. Dua negara Melayu ini adalah ‘budak setia' kepada Amerika. Malah Malaysia telah menghantar tentera ke Afghansitan. Malaysia juga sedang membantu Raja Saudi yang sedang cuba memadamkan apa kebangkitan warga Bahrain yang sedang berjuang untuk mendirikan Bahrain yang lebih demokratik.

Tetapi Syria tidak memiliki bahan bakar petroleum? Ini betul. Tetapi dalam strategi kuasa imperial Anglo-Amerika untuk mendirikan New World Order Syria ini dilihat sebagai musuh. Syria menjadi musuh bukan kerana Syria ini Syiah tetapi kerana Syria menyokong perjuangan Hezbollah dan Hamas yang sedang mengangkat senjata menentang kuasa zionis Israel.

Syria juga dijadikan musuh kerana Syria dari zaman presiden Hafeez al-Assad telah bekerjasama dengan Iran dalam banyak bidang. Malah dasar luar Iran/Syria telah membantu memperkuatkan gerakan Hezbollah dan Hamas.

Dari era Perang Dingin lagi Syria telah dilihat amat sedia untuk bekerjasama dengan USSR, kemudian dengan Rusia. Banyak kelengkapan persenjataan Syria yang digunakan untuk melawan Zionis-Isreal telah dibekalkan oleh Rusia. Rusia adalah sahabat Syria yang telah diduga. Hubungan intim dengan Rusia terjalin lama dan dibuktikan dengan wujudnya pangkalan tentera laut Rusia di Tartus semenjak tahun 1971. Tartus ialah pelabuhan yang kedua terbesar di Syria.

Mungkin ramai yang terlupa Isreal telah juga menawan dan sedang menjajah wilayah Bukit Tinggi Golan semenjak 1967 dahulu. Wilayah ini adalah milik Syria dan diakui oleh Bangsa Bangsa Bersatu.

Kerjasama antara Syria dengan Iran dan Rusia ini adalah satu perkara yang tidak dapat diterima oleh kuasa imperial Anglo-Amerika. Obama dan Clinton melihat bahawa kerajaan Bashar ini berkemungkinan akan menggagalkan strategi Amerika untuk menawan Iran. Syria perlu dipatahkan dahulu sebelum serangan dapat dilakukan ke atas Iran. Justeru kerajaan Bashar wajib dijatuhkan.

Di sini ada tiga buah negara yang sedang menjadi barua Amerika. Saudi, Qatar dan Turki. Saudi dan Qatar menjadi taiko mengeluarkan dana. Manakala Turki menyediakan tempat di sempadan Turki/Syria untuk melatih kumpulan-kumpulan pengganas anti-Syria yang kini memanggil nama mereka Free Syrian Army. Nama kumpulan ini amat menarik tetapi mereka ini dilatih oleh CIA.

Diberitakan sebuah jet pejuang Turki telah jatuh ditembak oleh peluru berpandu Syria. Ini mungkin sandiwara untuk mengolah persetujuan rakyat Turki dan rakyat dunia. Turkey kini memiliki cita-cita untuk sekali lagi - seperti zaman Uthmaniah dahulu - untuk dapat mempengaruhi dunia Arab. Turki memiliki nafsu besar, untuk menjadi kuasa besar. Nafsu besar ini muncul kerana Turki memiliki 'viagra' yang bernama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Para pembaca wajib sedar bahawa di belakang semua ini ialah kuasa zionis Isreal. Dengan licik Israel telah berjaya menjadikan Saudi, Qatar dan Turki sebagai budak suruhan gerakan Zionis Antarabangsa.

Pada ketika ini kuasa dan pengaruh Zionis Israel cukup kuat sehinggakan Obama terpaksa mengikut telunjuk Benjamin Netanyahu. Kaum zionis Isreal telah memilih waktu yang tepat - tahun pilihan raya - di mana tidak ada bakal presiden Amerika yang berani bercanggah dengan Isreal.

Amerika, Saudi, Qatar dan Turki semunya sedang menjadi budak suruhan zionis Isreal. Kita wajib sedar dan berwaspada kerana di belakang zionis Isreal ini ialah tuan empunya bank dan gedung-gedung perniagaan antarabangsa. Mereka inilah yang sedang merancang untuk mendirikan New World Order - Satu Dunia Baru - di mana semua harta kekayaan dunia ini akan mereka miliki. Kuasa dan kekayaan ini akan dipertahan oleh senjata-senjata buatan Amerika dan Nato.

Mungkin ada yang tidak percaya apa yang saya tulis ini. Mungkin ada yang melihat ini ialah perjuangan Sunni terhadap ajaran sesat Syiah. Mungkin ada yang akan mengatakan ini perjuangan adil rakyat Syria menuntut kebebasan dan demokrasi. Mungkin ada yang percaya bahawa kuasa imperial Amerika bersama Nato sedang berusaha menaburkan demokrasi seperti yang sedang mereka lakukan di Afghanistan, di Iraq atau di Libya.

Kepada yang tidak yakin dengan tulisan saya, saya cadangkan agar mereka pergi ke Kedutaan Saudi dan Qatar untuk bertanya bila piliha raya akan diadakan di Saudi Arabia dan Qatar? Khalas. END
PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Wednesday, July 11, 2012

'Mereka paling mencegah kezaliman raja'


  • Dr Mohd Asri Zainul Abidin
  • 11:22AM Jul 6 2012
 
ULASAN "Mereka paling mencegah kezaliman raja-raja" adalah perkataan sahabat Nabi SAW ‘Amr bin al-‘As ketika mengulas tentang kelebihan bangsa Rom ataupun bangsa Eropah ini. 
Saya teringatkan perkataannya apabila saya terbaca akhbar Daily Mirror pada 3 Julai lalu berhubung kritikan dan pendedahan mengenai belanja perjalanan keluarga diraja Britain, dengan tajuk "Royal Family's travel bill set rise higher". 

Setiap anggota keluarga yang berbelanja dengan wang negara didedahkan. Perjalanan mereka dan berapa wang negara yang telah digunakan seorang demi seorang. 

Antaranya, Daily Mirror melaporkan: "July 2011 Prince William and Kate spent £54,410 returning from LA with their staff of seven after touring Canada and California. A source said they paid business class fares for first class flights."
Banyak lagi pendedahan yang dibuat sebagai bantahan ke atas keluarga diraja itu menggunakan wang awam. Walaupun kadangkala yang digunakan itu kelihatan tidaklah begitu besar. 

Peningkatan belanja Ratu Elizabeth juga dipertikaikan. Padahal jika kita teliti, Ratu British itu membayar cukai harta seperti rakyat yang lain. Namun, sikap adil dan demokratik membolehkan rakyat mengetahui dan menyemak sesiapa sahaja yang terbabit dalam salahguna wang awam. 

Laporan itu menyimpulkan "The figures mean she (The Queen) costs the British population 52p per head, excluding the cost of her security and police protection".
Walaupun kadang-kala difikir jumlahnya tidaklah banyak dibandingkan kekayaan mereka dan jasa keluarga diRaja Britain dalam sejarah kemakmuran negara mereka. Namun, demikianlah sikap rakyat yang tidak feudal dan merdeka jiwa mereka. 

Mereka berhak mengetahui bagaimana wang negara mereka dibelanjakan. Maka jangan hairan jika mereka sentiasa lebih baik dari segi hak rakyat dan pengurusan dana awam negara. 

Kebebasan akhbar juga tidak dihalang dalam membuat laporan yang seperti itu. Malanglah, jika ada negara di dunia ini yang begitu meniru gaya baju British dalam upacara rasmi tetapi tidak memberikan hak bersuara kepada rakyat seperti yang British berikan pada rakyatnya.
Bangsa Eropah
Hal inilah yang mengingatkan saya kepada ulasan sahabat Nabi SAW iaitu ‘Amr bin al-‘As apabila mendengar seorang sahabat yang lain iaitu al-Mustawrid al-Qurasyi meriwayat sabda Nabi SAW: "Berlakunya Kiamat dan Rom merupakan manusia terbanyak" (Riwayat Muslim). 

Maksudnya, sehingga berlaku kiamat, bangsa Eropah akan kekal dengan jumlah dan kekuatan mereka. Rom ataupun bangsa roman adalah bangsa Eropah hari ini. 

Mendengarkan hadis tersebut, ‘Amru bin al-‘As sebagai seorang yang berpengalaman dengan pelbagai bangsa pada zaman tersebut mengulas dengan berkata kepada al-Mustawrid: 

"Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja".
Dalam ucapan ‘Amr bin al-‘As, tergambar bahawa beberapa ciri penting untuk menjadi satu masyarakat ataupun negara yang kuat. Pertamanya, kebijaksanaan politik dalam menangani krisis. 

Kedua, kemampuan untuk bangkit setelah jatuh dalam kegawatan. Ketiga, kekuatan ketenteraan. Keempat, kebajikan rakyat. Kelima, keadilan siasat yang menghalang segala kezaliman terutama kezaliman golongan penguasa.

Merenung hadis dan ucapan ‘Amr bin al-‘As ini, dapat kita lihat kekuatan dalam kehidupan masyarakat Barat ini sekalipun banyak perkara yang kita mungkin tidak bersetuju dengan mereka. 

Ciri-ciri kebaikan dan kekuatan yang disebutkan ‘Amr bin al-‘As dapat kita lihat dalam pengurusan mereka yang lebih baik dibandingkan masyarakat lain termasuk masyarakat Muslim hari ini. 

Sikap mereka dalam mencegah kezaliman penguasa lebih baik dari masyarakat lain yang feudal. Keluarga diraja mereka sekalipun berjasa dalam sejarah, namun hari ini tidak dibiarkan bertindak tanpa boleh dipertikaikan. 

Dengan itu masyarakat mereka hidup dengan penuh keyakinan terhadap hak dan suara mereka. lihatlah di dunia Islam apabila ada golongan bangsawan yang boleh mengaut segala kekayaan minyak, balak, gas, tanah dan segala harta awam rakyat tanpa siapa boleh mempertikaikan. 

Bahkan yang mempertikai pula yang dihukum. Padahal jasa golongan bangsawan negara-negara orang Muslim sukar hendak disenaraikan dalam sejarahnya dibanding monarki British.
Agamawan sengat
Malang sekali, muncul pula golongan agama yang sama ada jahat, ataupun jahil terhadap maksud agama dalam membebaskan manusia dari penghambaan zahir dan batin kepada menjadi hamba Allah yang merdeka jiwanya. 

Lahir golongan literalis yang meletakkan nas-nas agama secara terpisah dan sengat dari maksud keseluruhan agama ini sehingga berdiam terhadap kezaliman penguasa dan membantah suara rakyat yang ditindas. 

Mereka inilah yang berfatwa mempertahankan Muammar Qadafi, Hosni Mubarak dan rejim yang masih hidup iaitu Bashar al-Asad. Mereka sibuk menghalang rakyat bersuara, tetapi tidak sibuk "berforum, berwacana, ataupun berseminar" menghalang penguasa merakusi hak rakyat. 

Mereka mendakwa ini pegangan salaf (generasi awal Islam), seakan golongan salaf itu banteng kepada rejim-rejim yang zalim. Merekalah yang sebenarnya menghina dan berdusta atas nama salafussalih

Mereka lupa, bahawa Muawiyah bin Abi Sufyan sekalipun memberi ruang membantah dan bersuara kepada rakyat. 

Dalam riwayat at-Tabarani, dengan sanad yang hasan: "Muawiyah bin Abi Sufyan RA (khalifah ketika itu) menaiki mimbar pada hari Jumaat, dia berkata dalam khutbahnya: Harta ini (kerajaan) adalah harta kami, dan harta fai (yang diperolehi melalui peperangan) juga harta kami. Kami berikan kepada sesiapa yang kami mahu, dan kami tidak berikan kepada sesiapa yang kami mahu."

Tiada seorang pun yang menjawabnya.
Apabila tiba Jumaat yang kedua, dia mengucapkan perkara yang sama. Tiada siapa pun menjawabnya. Pada Jumaat yang ketiga dia berkata perkara yang sama, lalu seorang lelaki yang hadir dalam masjid itu bangun dan berkata: 

"Sama sekali tidak! Harta ini adalah harta kami (rakyat) dan fai ini adalah fai kami (rakyat). Sesiapa yang menghalang antaranya dengan kami, kami hukumnya dengan pedang-pedang kami."
Apabila selesai solat, Muawiyah memerintahkan lelaki itu berjumpa dengannya. Orang ramai berkata: "Habislah dia". 

Kemudian orang ramai masuk dan mendapati dia duduk bersama Muawiyah di atas tempat duduknya. Muawiyah berkata kepada orang ramai: "Dia ini telah menghidupkanku (memberikan kebahagian), semoga Allah menghidupkannya. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku, mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun."
Kata Muawiyah: "Aku bercakap pada Jumaat pertama, tiada siapa pun menjawabku, maka aku takut aku termasuk dalam kalangan mereka. Kemudian pada Jumaat yang kedua, tiada siapapun menjawabku, maka aku pun berkata: Aku termasuk dalam kalangan mereka. Aku bercakap pada Jumaat ketiga lelaki ini bangun menjawabku. Dia hidupkan (bahagiakan) daku, semoga Allah menghidupkannya."

Dunia bergembira dengan kemenangan Presiden Mesir yang baru Dr Muhammad Mursi. Saya mengikuti ucapan demi ucapannya. Ucapannya melambangkan nilai Islam yang ada dalam dirinya. 

Islam itu asas pemikirannya. Saya tidak mengharapkan banyak, saya harap beliau menghidupkan demokrasi seperti yang dijanjikan. Memberikan hak rakyat dan membahagikan kekayaan negara secara betul. Menghidupkan negara yang tersusun dan berperaturan. Bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa. 

Jika itu dapat dilakukan, Mesir yang terkenal dengan negara serabut dan tidak berperaturan itu akan dapat dibangunkan semula. 

Umat Islam sekian lama menderita kerana kegagalan pengurusan negara mereka. Kini masa untuk berubah dengan menyingkirkan setiap golongan yang korupsi dan penyokong pemikiran feudal dari masyarakat Muslim.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis dan kini zamil di Universiti Oxford. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmiMalaysiakini.

Rayu keputusan bebas Anwar, pendakwa kemuka 10 alasan


2:10PM Jul 11 2012 
Pihak pendakwaan memohon Mahkamah Rayuan agar mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
    
Pihak pendakwaan juga memohon supaya Ketua Pembangkang itu disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu.
    
Katanya ini kerana Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang mendengar perbicaraan kes liwat itu terkhilaf dalam memutuskan terdapat keraguan ke atas integriti sampel-sampel DNA yang diperolehi daripada Mohd Saiful.
    
Pihak pendakwaan berkata Mohamad Zabidin telahpun membuat penemuan di akhir kes pendakwaan bahawa "male Y" yang diperolehi dari profil DNA yang dianalisis oleh ahli kimia, Dr Seah Lee Hong adalah dari 'semen extract' (ekstrak air mani) yang mana berpadanan dengan profil DNA yang diperolehi dari sampel-sampel yang
diambil dari lokap yang dihuni dan digunakan oleh Anwar.

Ini adalah antara alasan pihak pendakwaan dalam petisyen rayuan yang difailkan petang Isnin lepas di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan terhadap pembebasan dan pelepasan Ketua Pembangkang itu daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful.
    
Dalam petisyen itu pihak pendakwaan mengemukakan 10 alasan.

Pihak pendakwaan berkata Mohamad Zabidin di akhir kes pendakwaan juga telah memutuskan bahawa tidak ada jalan untuk pegawai penyiasat DSP Blacious Judy Pereira menggunakan sampel-sampel DNA yang diperolehi dari sel lokap itu untuk mengusik sampel-sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful.
    
Ia juga menyatakan bahawa hakim telah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa dari manakah pegawai penyiasat itu dapat memperolehi sampel air mani yang berpadanan dengan profil DNA yang diperolehi dari sampel-sampel barang-barang yang digunakan oleh Anwar yang diambil dari lokap itu.
    
Pihak pendakwaan juga berkata bahawa hakim itu telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila mendapati terdapat keraguan terhadap integriti sampel-sampel DNA yang diperolehi daripada Mohd Saiful sedangkan hakim itu telahpun memanggil Anwar membela diri terhadap pertuduhan meliwat itu di akhir
kes pendakwaan.

"Yang arif hakim telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah di akhir kes pembelaan berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan," kata pihak pendakwaan.

Ia juga berkata Mohamad Zabidin telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam menilai semula keseluruhan keterangan berkaitan dengan pengutipan, pengendalian dan analisis sampel-sampel DNA yang diperolehi daripada Mohd Saiful.
    
Hakim itu telah memberi pertimbangan yang salah kepada keterangan-keterangan saksi-saksi pembelaan iaitu Dr David Wells and Dr Brian Mc Donald, yang menyatakan pendapat mereka yang berdasarkan teori-teori yang tidak lengkap dan tidak menyeluruh tanpa mengambil kira teori-teori-teori dan penulisan-penulisan oleh lain-lain pakar yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Pihak pendakwaan berkata hakim itu juga telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal menilai kepakaran dan pengalaman Dr Brian dalam pemeriksaan DNA.
    
Hakim itu juga telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal menimbangkan bahawa Dr Seah dan ahli kimia Dr Nor Aidora Saedon telah memberikan pendapat mereka berdasarkan pemeriksaan dan analisis yang dibuat oleh mereka sendiri ke atas sampel-sampel DNA tersebut berbanding dengan Dr David and Dr Brian yang memberikan pendapat mereka hanya berdasarkan teori-teori sahaja. 
    
"SP5 (Dr Seah) dan (Dr Nor Aidora) SP6 juga telah mengambil kira kemungkinan-kemungkinan yang ditimbulkan oleh saksi-saksi pembelaan semasa membuat pemeriksaan dan analisis ke atas sampel-sampel DNA tersebut," kata pihak pendakwaan lagi.
    
Hakim itu juga telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal mengambil kira bahawa tidak ada keterangan yang menunjukkan mana-mana bekas-bekas sampel DNA yang telah dimeteri itu telah dikacau ganggu. 
   
Ini kerana Dr Seah dan Dr Nor Aidora telah mengesahkan bahawa meteri pada bekas-bekas sampel DNA yang mereka perolehi daripada DSP Judy masih utuh. 
    
Pihak pendakwaan berkata hakim telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal mengambil kira bahawa terdapat lain-lain keterangan yang menyokong keterangan Mohd Saiful sepertimana yang telah dinyatakan oleh hakim itu dalam penemuannya di akhir kes pembelaan.
    
Hakim itu telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila meletakkan beban pembuktian yang lebih tinggi dari beban pembuktian melampaui keraguan yang munasabah ke atas pihak pendakwaan dalam membuktikan kes mereka.
  
"Oleh yang demikian, perayu memohon kepada mahkamah yang mulia ini supaya keputusan yang arif hakim Mahkamah Tinggi dalam melepaskan dan membebaskan responden (Anwar) diketepikan dan responden dengan itu disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan," kata pihak pendakwaan.
    
Pada 2 Julai lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyerahkan rekod rayuan, termasuk penghakiman bertulis setebal 80 muka surat untuk memudahkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan.
    
Dalam penghakiman bertulis itu, Mohamad Zabidin memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti tentang integriti sampel DNA yang diambil daripada pengadu Mohd Saiful.
    
Katanya sampel berkenaan boleh diusik sebelum sampai kepada Jabatan Kimia untuk dibuat analisis. Oleh yang demikian adalah tidak selamat bagi mahkamah bergantung kepada keputusan ujian DNA yang dilakukan oleh Dr Seah terhadap sampel berkenaan.
    
Pada 9 Januari, Mohamad melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, di sebuah unit di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
    
Anwar, 65, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman hingga 20 tahun penjara dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Thursday, June 28, 2012

Syria di persimpangan jalan



23 Feb 2012
Syria menghadapi arus perubahan musim bunga politik yang sedang berlaku di dunia Arab secara khusus. Tidak boleh dinafikan sedikitpun, kebangkitan yang menggolakkan arus perubahan itu disebabkan oleh tempoh pemerintahan yang lama tanpa kebebasan rakyat,  kerana pemerintahan bersifat  diktator bertopeng demokrasi, yang menekan rakyat dengan lesen yang diberi oleh  kuasa-kuasa besar dunia diatas nama rakan strategik bagi keselamatan Israel yang dilindungi dengan cara paling istemewa, akhirnya tidak mampu membatalkan musim yang bertiup.


Syria mempunyai kedudukkan yang agak berbeza dengan negara arab yang lain, kerana tidak mengiktiraf Israel dan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengannya. Syria juga menjadi pintu keluar bagi negara Iran yang dikepung, dalam masa yang sama mengizinkan buminya menjadi pangkalan bagi gerakan Islam Hamas dan Jihad Islami, serta pangkalan bantuan bagi Hizbullah yang berada di Selatan Lubnan. Hamas dan Jihad Islami bermazhab Sunni, tidak sama dengan Bashar Assad yang menganut mazhab Alawi. Begitu juga Republik Islam Iran dan Hizbullah yang bermazhab Syiah Imamiyyah yang bertentangan juga dengan mazhab yang dianut oleh Bashar dan keluarganya. Diambil kira juga parti  Baath yang menganut ideologi sosialis yang keras sehingga hampir sama dengan negara komunis dan juga berfahaman nasionalis  fanatik yang keras terhadap Israel. Menunjukkan bahawa masing-masing lebih menjadikan rakan strategik bagi menghadapi musuh  yang sama iaitu Israel.

Dalam masa yang sama, negara kuasa besar  khususnya Amerika yang menjadi rakan strategik Israel akan melindungi negara haram tersebut daripada sebarang gerakan yang dianggap ancaman kepada keselamatan Israel khususnya dalam berdepan dengan Islam. Kumpulan  Hamas, Jihad dan Hizbullah adalah ancaman paling bahaya terhadap Israel dengan bantuan Iran secara terbuka juga  diumumkan oleh pemimpin utamanya Imam Ali Khamanaei dalam khutbah jumaatnya yang terakhir, diikuti oleh lawatan rasmi  ke Iran oleh Ismail Haniyyah, Perdana Menteri Palestin yang tidak diiktiraf oleh Barat dan sekutunya walaupun dipilih secara pilihanraya yang dipantau oleh pertubuhan antarabangsa.  Maka kesemuanya adalah ancaman besar terhadap negara Zionis itu.

Sebelum daripada perkembangan ini, tercetus perang di Selatan Lubnan dan selepasnya serangan terhadap Ghazzah. Kedua peristiwa percubaan Israel ini yang menyerang bagi menghapuskan ancaman terhadap negara haram itu menemui kegagalan yang memalukan. Percubaannya gagal walaupun dengan bantuan negara-negara rakan Israel dan sokongan terbuka dan tersembunyi oleh negara-negara Arab yang bersahabat dengan Israel. Kesemua negara Arab dan negara Islam itu menerima konsep Road Map tajaan kuasa besar yang bertanggungjawab menubuhkan Israel.

Ia juga ekoran dicetuskan isu ancaman teknologi nuklear Iran,  walaupun di atas tujuan perbekalan tenaga, bukannya persenjataan kerana diharamkan oleh agama Islam seperti dinyatakan oleh para pemimpinnya. Sebaliknya Israel pula telah memiliki senjata nuklear sejak tahun enam puluhan lagi, dengan tidak menandatangani apa-apa perjanjian antarabangsa yang mencegahnya daripada melakukan sesuatu yang mengancam keamanan dan keselamatan dunia. Sebarang tindakannya yang dikira menceroboh dan mengganas dengan nyata  diselamatkan dengan kuasa veto oleh kuasa besar pelindungnya jika ada sebarang keputusan yang tidak berpihak kepadanya. Inilah dia undang-undang  rimba yang diamalkan di peringkat antarabangsa iaitu siapa yang kuat dia selamat.

PAS bersama dengan parti Islam di seluruh dunia mengutuk segala kekejaman yang berlaku di Syria terhadap rakyatnya. PAS dan gerakan Islam bersetuju supaya  kerajaan Syria menghentikan kekejaman terhadap rakyat. Kami juga bersetuju supaya Syria didesak dan dipaksa membuat perubahan kepada demokrasi yang sebenar. Namun kami tidak bersetuju jika perubahan yang berlaku kerana hendak menyelamatkan negara haram Israel dan masuk ke dalam agenda Israel  dan sekutunya. Tujuannya bukan menyelamatkan Syria tetapi lebih daripada itu untuk menekan, melemah dan menghapuskan Hamas, Jihad Islami (daripada Sunni) dan Hizbullah serta Iran (daripada Syiah).

Pihak yang melawan kerajaan Syria pula melibatkan kumpulan Islam dan bukan Islam. Mereka  dibekal dengan bermacam bantuan termasuk senjata dan ada yang diberi di atas nama Islam dengan agenda menegakkan kerajaan baru yang menyelamatkan Israel melalui gabungan kerjasama kumpulan Islam yang tidak kuat dengan kumpulan sekular yang berpangkalan di negara Barat yang lebih diperkuatkan supaya menguasai gerakan perubahan.

Media Israel  melaporkan kenyataan pemimpin kerajaan dan tentera Israel bahawa mereka mahukan perubahan yang bukan berteraskan Islam yang lebih menyelamatkan Israel. Jika tidak maka Bashar Assad perlu diteruskan berkuasa pada tempatnya. Ini kerana perubahan yang memberi kemenangan kepada kumpulan Islam seperti di Mesir, Tunisia dan Libya lebih menjadi ancaman kepada keselamatan Israel.

Usaha mereka bukan sahaja menyekat ancaman terhadap Israel daripada utara dan selatannya, tetapi juga dilakukan bagi menghapuskan kekuatan Iran dan kemajuan teknologinya. Beberapa bulan yang lalu media Barat mendedahkan perselisihan pendapat di kalangan Zionis Yahudi berhubung keperluan melancarkan serangan ke atas Iran seperti yang pernah dilakukan ke atas janakuasa tenaga nuklear Iraq di tahun 70-an di masa Saddam Husain. Usaha juga dilakukan dengan menggunakan Iraq di zaman Saddam bagi menyerang Iran yang baru berjaya dalam Revolusi Islam menjatuhkan regim Shah yang pro Barat. Ada di kalangan mereka yang bersetuju supaya Iran diserang habis-habisan. Mereka ialah kalangan pelampau Zionis yang berada dalam negara haram Israel. Ada juga yang tidak bersetuju Iran diserang. Mereka ialah kumpulan Zionis yang  berada  di Amerika dan Eropah. Mereka bimbang tindakan itu akan menyuburkan gerakan anti Zeonis dikalangan masyarakat barat apabila berlakunya krisis sampingan selepas serangan itu.

Bagi melaksanakan agenda yang nyata dan tersembunyi ini, maka sudah tentu Amerika dan sekutunya menjadi penyumbang besar bagi menjayakan cita-cita keselamatan negara haram Israel. Kepada mereka yang dapat membaca medan politik secara sepak terajangnya, bukan secara akademik sahaja, perlu difahami bahawa politik perlu dibaca dengan dua aspek iaitu akademik yang bersurat dan sepak terajang yang tersirat. Betapa agenda melagakan umat Islam yang pernah menjatuhkan kerajaan Othmaniyah di awal abad yang lalu sedang diulangi senarionya.

Pertama, umat Islam dilagakan dengan semangat kebangsaan masing-masing  sehingga membantu musuh bagi menjatuhkan kerajaan Othmaniyyah di abad yang lalu tanpa menafikan adanya kezaliman dan kesilapan kerajaan Othmaniyyah terhadap wilayahnya. Semangat nasionalisme digunakan bagi menimbulkan kebencian Arab terhadap bangsa Turki yang menguasai kerajaan Islam dimasa itu. Di atas semangat kebangsaan dengan bantuan yang melibatkan manusia seperti Lorans dan rakan-rakannya  Arab dibantu untuk menentang  Turki Otmaniyyah.  Akhirnya Kerajaan Othmaniyyah dijatuhkan dan diberi tempat kepada Kamal Ataturk mendirikan kerajaan sekular menggantikan kerajaan Islam di atas nama memajukan Turki tetapi berakhir dengan bangsat.

Di kalangan bangsa Arab pula diupah dengan bahagian masing-masing  mengikut road map Sykes Picot dengan membahagikan di kalangan negara Barat untuk menjaganya dengan upah mengangkut hasil bumi yang kaya. Manakala Arab pula dibayar dengan wang yang banyak supaya kaya-raya tanpa teknologi yang dapat menguatkannya sehingga dapat berdikari dan meninggalkan sifat Islamnya supaya tidak berakhlak, tetapi terus berlindung dengan negara-negara Barat tersebut. Negara-negara Arab yang mendapat bahagian ini masih lagi menjadikan hari mendapat bahagian tersebut sebagai hari kebangsaan masing-masing  yang disambut dengan meriahnya secara tahunan.

Yang kedua, melagakan umat dengan mazhab yang ramai pengikut. Pengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan majoriti umat Islam  dan menjadi mazhab kerajaan Othmaniyyah yang bermazhab Hanafi, dilagakan dengan mazhab Syiah Imamiyyah yang  ramai penganutnya di Iran, Iraq dan  Selatan Lubnan dan menjadi mazhab Shah Iran di masa itu. Mazhab Zaidiyyah yang sebahagian besar pengikutnya di Yaman dan juga menjadi mazhab raja yang bergelar Imam yang memerintah Yaman. Ada pun Oman pula bermazhab Khawarij Ibadiyyah.  Syah Iran dan Imam Yaman berperang dengan kerajaan  Othmaniyyah. Oman pula menjadi pengkalan kuasa barat.

Malangnya dalam pergolakan yang berlaku di Syria dan  perang yang masih dingin di antara Iran dan negara Barat dan sekutunya, isu nasionalisme dan mazhab dihidupkan  semula. Dihidupkan semula  galakan semangat nasionalisme di kalangan umat Islam sehingga meletakkan ajaran Islam yang boleh menyatukan umat dan akhlaknya yang mulia dilupakan. Masalah khilafiyyah  di kalangan mazhab Islam yang satu dihidupkan semula. Sepatutnya menjadi perbincangan di kalangan para ulama yang mendalami ilmunya sahaja, tetapi dihidupkan bukan sahaja diantara Sunni dan Syiah bahkan di antara Sunni dan Sunni. Ia disebarkan saperti salafi (wahabi) dan Asya’irah dan Maturidiyyah  di kalangan Ahli Sunnah. Masalah cabang  ajaran agama yang berbeza dikalangan empat mazhab dan lain-lain dikalangan ahli sunnah dihidupkan kalangan masyarakat awam  yang cetek pengatahuan agamanya. Syiah Imam Khomeini dan Khaminaei yang membuat perubahan politik daripada syiah tradisi  di kalangan Syiah, diantara syiah Arab dan syiah Parsi di Iraq. Di samping menyebarkan mazhab-mazhab ini  di kalangan umat Islam yang masih jahil agama, bukannya menyebarkan dan  menambahkan penyebaran Islam di kalangan bukan Islam. Semua ini adalah agenda laga dan perintah atau penjajahan semula yang sepatutnya difahami oleh umat Islam.

Dalam kemelut yang begitu celaru, umat Islam perlu kembali ke pangkal jalan, mengenali kawan dan lawan serta mengambil iktibar daripada kesalahan yang lalu. Para ulama dan pemimpin di zaman keemasan umat Islam bersatu dalam perkara rukun dan berbeza pendapat dalam masalah cabang sehingga tidak memisahkan hubungan persaudaraan agama dan kemanusiaan berbagai agama dan kaum dalam negara Islam yang luas dan besar. Pandangan semua ulama dicatit menjadi kajian, termasuk pendapat paling lemah kerana keadaan situasi dan realiti yang boleh berubah. Kesilapan dalam perkara rukun diperbetulkan dengan kebijaksanaan. Maka paling menariknya berlaku perkembangan Islam secara damai lebih pesat daripada ketika berperang.

Allah mengajar penganut Islam di zaman Rasulullah S.A.W. supaya umat Islam bersatu di atas dasar dan konsep Islam serta menggunakan pendekatan damai dan strategik dengan masyarakat bukan Islam. Walaupun Rasulullah S.A.W. sudah wafat dan para sahabat generasi awal Islam berbeza pendapat  siapakah pengganti Rasulullah S.A.W. selepas wafatnya  sehingga melahirkan mazhab Sunni, Syiah dan Khawarij. Namun mereka bersatu bersama para Khulafa Rasyidin R.A. dalam menghadapi cabaran dan menyebarkan Islam sehingga berjaya  selama beberapa abad.  Mereka yang jahil dan melampau disingkirkan daripada masyarakat umat yang besar. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berguru dan bersatu dengan Imam Jaafar al-Sodiq pelopor Syiah Imamiyyah yang beribukan salah seorang daripada zuriyat Abu Bakar Al Siddiq R.A. Semua para ulama yang berwibawa itu menentang kezaliman di zaman Umawiyyah dan Abbasiyyah dan mendokong sesiapa yang adil, seterusnya dakwah dan jihad diteruskan. Adapun pertelingkahan yang tajam selepasnya, berlaku di kalangan para jahil daripada semua pihak.

Langkah penubuhan Majma’ Fiqh di bawah OIC yang melibatkan para ulama daripada semua mazhab itu adalah sangat positif bagi umat Islam. Begitu juga kenyataan dan fatwa pemimpin utama Iran Imam Ali Khaminaei supaya para pengikutnya berhenti daripada mencaci dan menghina para Ummahatul Mukminin (para isteri Rasulullah S.A.W.) yang bertaraf ibu kepada seluruh orang-orang yang beriman dengan perintah Al Quran secara nas dan berhenti menghina para sahabat R.A. malah para ulama besarnya memaklumkan  bahawa lebih daripada sembilan ribu hadith yang ada dalam kitab al-Kulaini yang menimbulkan masalah hendaklah ditolak.

Adapun langkah membiarkan kuasa asing yang dijemput menyelesaikan masalah hanya mengulangi sejarah lama yang wajib dilipat dan dikebumikan. Kalau mahu menghidupkan semula dalam pergolakan di Syria terkini akan terlaksana sejarah lama yang mengundang singa dan buaya. Natijahnya kalau selamat daripada mulut harimau akan masuk ke dalam mulut buaya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Haji dan politik


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/presiden/11037-haji-dan-politik

Tuan Guru Abdul Hadi Awang,16 Jun 2012
Saya tidak menyangka bahawa tulisan saya yang menyebut haji dan pilihan raya secara sepintas lalu menjadi polemik hangat beberapa hari. Saya hanya menyebut bahawa masyarakat Islam kebanyakannya tidak tahu perbezaan di antara wajib mudoyyak dan wajib muwassa' yang tidak ada dalam pelajaran fardu ain.

Apabila Ketua Penerangan PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan susulan, beliau menjadi sasaran serangan media Umno yang berpelurukan kenyataan berbagai pihak. Maka Umno tidak mengambil kira musim haji atau musim puasa dan sebagainya, kerana Umno tidak menjadikan Islam itu dasar panduan perjuangannya. Tuan Haji Subky Latif pernah menjadi sasarannya apabila menyentuh perkara ini ketika menjadi Ketua Penerangan PAS Pusat.

Media jurubicara Umno mendedahkan kebebalan mereka berkenaan hukum Islam dan mendedahkan kejahilan pemimpin utama mereka sendiri, seterusnya mendedahkan ada di kalangan tokoh agama termasuk berjawatan mufti, bahawa roh dan jasadnya bersama Umno. Paling malang dan menjadi lebai malang ialah kalangan yang jahilnya murakkab, tidak mengenali ilmu usul feqah dan maqasid syariah.

PAS tetap berpegang kepada ajaran Islam yang tidak memisahkan politik daripada agama Islam, walaupun politik tidak termasuk dalam rukun Islam seperti ibadah haji dan tidak termasuk rukun iman. Begitulah juga wajibnya menutup aurat dan menjelaskan hutang sesama manusia, perkara ini tetap wajib ditunaikan serta-merta, walaupun tidak dimasukkan secara sebutan dalam rukun Islam. Para ulama menegaskan bahawa perkara-perkara yang tidak disebut dalam rukun itu, tetap termasuk dalam rukun pertama dua kalimah syahadah dan tidak boleh dipisahkan daripada mana-mana rukun iman.

Dalam perkara wajib, para ulama usul fiqh bukan sahaja membahagikan kepada fardu ain dan fardu kifayah. Perkara wajib juga dibahagikan dari segi kesesuaian kadar waktu menunaikannya, sama ada wajib disegerakan, tidak boleh ditangguh, yang dinamakan wajib mudoyyaq seperti puasa Ramadhan dan sembahyang di akhir waktu. Ada juga wajib yang boleh ditangguh kerana luas waktunya dan tidak berdosa menangguhkannya seperti haji dan sembahyang wajib yang lama masanya di awal waktu. Perkara ini dinamakan wajib muwassa'.

Apabila bertembung dua perkara yang sama wajibnya, maka didahulukan kepada menunaikan wajib mudoyyaq seperti wanita kematian suami yang wajib menunaikan idah berada di rumah dalam masa beberapa bulan yang ditetapkan oleh Al Quran, dalam masa yang sama dia berharta dan mampu menunaikan haji kali pertama yang wajib dan menjadi rukun Islam. Hukumnya hendaklah menunaikan idahnya terlebih dahulu, wajib berada di rumah kerana wajibnya mudoyyaq dan menangguhkan haji kerana wajibnya muwassa'. Walaupun perkara idah tidak termasuk dalam rukun Islam. Begitu juga dengan seseorang yang cukup duitnya menunaikan haji, dalam masa yang sama dia berhutang dan diminta membayar segera, maka hendaklah membayar hutangnya terlebih dahulu atau keluarga wajib diberi nafkah, maka tunaikan nafkah dengan cukup terlebih diutamakan walaupun perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam rukun Islam.

Rasulullah SAW menangguhkan ibadat hajinya walaupun diwajibkan lebih awal, ada kalangan ulama yang menyatakan sejak zaman Nabi Adam. Ada yang menyatakan sejak zaman Nabi Ibrahim dan ada yang menyatakan di tahun ketujuh hijrah. Rasulullah SAW membebaskan Makkah (Fathul Makkah) daripada Jahiliyyah terlebih dahulu daripada menunaikan haji dan menghadapi qabilah Hawazin dalam peperangan Hunain. Walaupun banyak harta dan bekalan berada dalam tangan melimpah ruah dan sudah masuk bulan Syawal (bulan haji), namun terus pulang ke Madinah tanpa menunaikan haji.
Rasulullah SAW menugaskan sahabatnya Abu Bakar R.A supaya memimpin umat Islam menunaikan haji pada tahun kesembilan hijrah. Adapun Rasulullah SAW menangguhkan haji sehingga tahun kesepuluh hijrah, sebelum sedikit kewafatan baginda. Para ulama menegaskan bahawa wajib haji adalah muwassa', boleh ditangguh dan Rasulullah SAW mendahulukan urusan politik negaranya dengan menerima rombongan yang datang menyerah diri masuk Islam atau sedia berdamai.

Dalam peristiwa Hudaibiyah pula, Rasulullah dan para sahabat telah memakai pakaian ihram bagi menunaikan umrah. Tiba-tiba dihalang memasuki Makkah dan berakhir dengan perjanjian Hudaibiyah yang salah satu syaratnya menangguhkan umrah. Maka ditangguhkan umrah dan dibayar dam(denda) tanpa menunaikan umrah pada tahun tersebut. Umrah ditangguh kerana perjanjian Hudaibiyah memberi kemenangan politik yang tidak boleh ditangguhkan.

Kepada PAS, pilihanraya adalah amalan politik yang menjadi hak memilih pemimpin dan kerajaan. Politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam, walaupun pilihanraya itu dikatakan asalnya dari Barat. Passport dan visa haji juga berasal daripada Barat, kedua-duanya tidak termasuk dalam syarat dan rukun haji. Para ulama usul Fiqh menetapkan kaedah bahawa perkara yang menjadi halangan menunaikan yang wajib kalau tidak melakukannya menjadi wajib juga. Begitulah pilihanraya adalah cara memilih pemimpin dan kerajaan yang menjadi perkara wajib mengikut semua mazhab Islam dengan nas dan ijmak, kecuali mazhab yang sesat. Al Quran menyebut ayat-ayat yang banyak dalam beberapa surah menunjukkan memilih pemimpin dan kerajaan adalah perkara yang akan dihisab pada hari qiamat nanti. Amaran ini berulang kali lebih banyak daripada ayat haji dan umrah.

PAS tetap mendidik ahli dan penyokongnya bahawa politik tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam, laksana tidak boleh dipisahkan kepala dengan badan. Imam Al Ghazali seorang tokoh ulama tasawuf juga menegaskan, "agama adalah asas, kuasa pemerintahan (politik) adalah pengawas. Kalau tidak ada asas runtuh, kalau tidak ada pengawas, hilang tercicir". Maka banyak hukum-hakam Islam dihilangkan kerana politik Islam ditinggalkan. Almarhum Syed Alawi Al Haddad, Mufti Kerajaan Johor ditahun 50-an menyatakan dalam fatwanya yang diterbitkan berkenaan kewajipan pilihanraya dan parti mana yang wajib dipilih. Kepada imam-iman yang masih kuat menyokong Umno di Johor, sila cari buku fatwa ini.

PAS yang bersama Pakatan Rakyat, sekiranya diberi kuasa memerintah negara tidak mengizinkan musim haji menafikan hak rakyat menunaikan kewajipan politik ini tanpa mengira menang atau kalah, kerana hak politik adalah amanah besar dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW menegaskan bahawa menghilangkan amanah ini menjadi salah satu sebab berlakunya kiamat yang menamatkan alam dunia dengan kehancurannya.

Akhirnya percayalah bahawa diam lebih baik daripada bercakap kejahilan, kerana bercakap dalam perkara yang tidak diketahui mendedahkan kebodohan diri sendiri. Beginilah jadinya apabila lesen memandu dijual, boleh membawa kemalangan. Kalau tauliah ilmu juga boleh dijual beli dengan harta dan pangkat, boleh menyesatkan orang ramai. Namun cahaya ilmu Islam pasti bersuluh dan dipelihara Allah. Sesuapa yang mengkhianati ilmu Islam pasti tersungkur akhirnya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS