Tuesday, August 7, 2012

‘Rakan sekelas saya adalah penjenayah perang’


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12308-rakan-sekelas-saya-adalah-penjenayah-perang

Ted Regencia diterjemah Mohamad Yahya,07 Ogs 2012
(Bashar al-Assad yang dipanggil 'Donkey' oleh jurulatihnya tiba-tiba berubah menjadi penjenayah perang)

CHICAGO: Ini adalah kisah tentang seorang pelajar perubatan yang menuntut di University of Damascus, sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka Syria pada tahun 80-an.

Ketika dalam salah satu senaman latihan fizikal, pelajar tersebut telah menimbulkan kemarahan jurulatihnya, dan jurulatih tersebut menghinanya dengan panggilan “anak keldai”.

Namun, jurulatih yang telah merah padam mukanya mula menyedari siapa yang baru dimarahinya, dan lekas-lekas meminta maaf.

Pelajar tersebut adalah Bashar al-Assad, anak kedua dan pewaris utama presiden Syria ketika itu, Presiden Hafez al-Assad.

Tetapi, Bashar Assad “tidak terasa hati” dengan hinaan jurulatihnya.

Sedang Dr Zaher Sahloul mengingat kembali kejadian yang melibatkan rakan sekelasnya selama enam tahun itu, pakar sakit paru-paru Chicago itu terfikir bagaimana “seorang yang begitu biasa dan merendah diri” berubah menjadi dalang kepada pertumpahan darah yang berlaku di Syria, yang telah membunuh lebih dari 17,000 orang, mengikut kiraan United Nations. 

“Kamu tidak akan pernah terlintas bagaimana seorang yang pernah menjadi rakan sekelas kamu di fakulti perubatan, akan mampu melakukan jenayah perang sebegini terhadap manusia,” ujar Sahloul, yang berasal dari Homs, Amerika dan merupakan presiden untuk Persatuan Perubatan warga Amerika berbangsa Syria (Syrian American Medical Society).

Era gelap yang baru

Bagi Sahloul dan rakan-rakan warga Amerika berketurunan Syria yang menyambut Ramadhan, bulan suci pada tahun ini menandakan bermulanya era gelap yang baru dalam komuniti kecil mereka, yang kebanyakannya mempunyai rakan-rakan dan ahli keluarga yang ditangkap dalam 17 bulan pemberontakan bersenjata.

Doa mereka dari perlindungan untuk ibubapa mereka yang memilih untuk terus menetap di kota Homs yang tandus angkara bom, hinggalah kepada pengusiran rejim Assad dari Damaskus, mencerminkan kesakitan sebuah bangsa yang terluka, di mana seorang presiden menyerang rakyatnya sendiri.

“Ia amat sulit untuk meraikan kedatangan bulan Ramadham, kerana menyedari ahli keluarga kita berhadapan dengan ancaman pembunuhan pada setiap masa,” ujar Sahloul. “Apa yang berlaku sekarang adalah krisis kemanusiaan yang amat serius.”

Dua minggu lalu, Sahloul kembali dari misi perubatan yang ke-empat untuk kem pelarian rakyat Syria di Kilis, Turki.

Di sana, Sahloul bekerja bersama 45 doktor sukarela warga Amerika berketurunan Syria bergilir di beberapa kem pelarian, walaupun ramai ahli keluarganya yang terkorban dalam taufan keganasan yang melanda Syria.

Kawasan Chicago adalah tempat tinggal untuk sekurang-kurangnya lapan bekas rakan sekelas Bashar al-Assad.

Selain Sahloul, Dr Hassan Alzein, seorang pakar pediatrik, adalah salah seorang dari 800 rakan sekelas Bashar. Seperti Sahloul, Alzein mengganggap Bashar dulunya sebagai seorang yang biasa sahaja.

“Kami cuba menjauhkan diri darinya,” ujar Alzein. “Ayah dia adalah seorang diktator yang kejam dan kami selalu mengingatkan satu sama lain, jika kami rapat dengan Bashar, lama-kelamaan kami akan dijadikan target oleh rejim.”

Seorang penduduk Chicago yang pernah rapat dengan Bashar al-Assad adalah Maher Basatneh, seorang yang berasal dari Damaskus. Tokoh perniagaan Chicago ini berkata dia mula berkawan dengan Presiden Syria itu ketika mereka masih remaja, di sebuah kem terjun udara.

“Dia seorang yang peramah,” ungkap Basatneh berkenaan Bashar al-Assad. “Dia makan bersama dengan kami semua dan kami berbual dengannya seperti rakan biasa. Dia tidak tahu apa-apa berkenaan politik.”

Basatneh dan Assad menjadi teman rapat dan mereka selalu meluangkan masa di kediaman Assad. Di sana, Basatneh berkata, beliau selalu menyaksikan Maher al-Assad mencemuh abangnya, Bashar al-Assad, dengan memanggilnya “bodoh”.

Kemudian, Basatneh melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan bersama Assad, yang menyokongnya sebagai ketua Majlis Pelajar.

Tetapi Basatneh, yang kemudiannya keluar dari fakulti perubatan, tidak percaya bahawa Assad mempunyai keupayaan untuk memimpin Syria, dan dia menyifatkan Bashar sebagai remaja yang mempunyai perangai pelik yang menjengkelkan.

“Saya telah mengenali lelaki ini untuk bertahun lamanya, dan jawatan presiden bukanlah untuk dirinya,” ujar Basatneh, sambil menambah bahawa beliau tidak akan mempertaruhkan nyawanya dengan melantik Assad menjadi doktornya.

Basatneh mendakwa bahawa Assad bukanlah seorang pelajar perubatan yang serius, dan hanya mendapat ijazah kedoktoran kerana dia adalah anak kepada presiden.

Kematian abang Bashar, Bassel al-Assad, yang telah dipersiapkan untuk menjadi presiden, dan selepas itu kematian bapa Bashar, Hafez al-Assad, telah memaksa Bashar mengambil tugas kepemimpinan yang beliau sendiri tidak bersedia untuk memikulnya, jelas Basatneh, dan menambah bahawa krisis Syria adalah kesan langsung kegagalan kepemimpinan Bashar al-Assad.


Menghitung hari


Sahloul berkata dia sendiri tidak pernah terlintas bahawa bekas rakan sekelasnya itu akan menjadi seorang presiden, dan pemerintahan Bashar al-Assad sebenanrya hanya menghitung hari untuk jatuh.

Walaupun mereka tidak rapat, dia selalu melihat Assar di Univesity of Damaskus dari tahun 1982 hingga 1988.

“Beliau bukanlah seorang yang sombong,” kata Sahloul. “Tetapi, dari apa yang saya lihat, beliau bukanlah seorang yang pintar ataupun terhormat.”

“Saya fikir beliau telah membuktikan bahawa beliau adalah seorang presiden yang tidak bagus bila berhadapan dengan krisis, sama ada krisis di Iraq, atau di Lebanon selepas pembunuhan (bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafiq) al-Hariri,” ujar Sahloul.  “Keputusan-keputusan beliau sangat teruk dan kerana itulah akibat-akibatnya amat teruk.”

Sahloul mengimbas kembali bahawa, selepas bekas rakan sekelasnya menjawat jawatan presiden, dia bersama rakan-rakan doktornya warga Amerika berketurunan Syria, berpeluang bertemu Assad di satu persidangan di Damaskus.

Ketika beramah mesra, Sahloul teringat Assad ada menyebut bahawa tentang keinginannya untuk menjadi seorang doktor dan bukannya seorang presiden.

Dalam pertemuan yang sama, Sahloul bertanya kepada Assad tentang kesediaan Syria untuk menerima pakai sistem demokrasi. Assad menjawab tidak, dengan memberikan budaya berpuak-puak dan politik sektarian Syria sebagai alasan utama penolakannya.

Sekarang, setelah Assad enggan untuk mengiktiraf permintaan rakyat untuk pemerintahan yang lebih demokratik, peristiwa itu mungkin kembali menghantui dirinya.
Namun, Sahloul memberi amaran bahawa, rejim Assad sanggup untuk jatuh bersama-sama dengan seluruh rakyat Syria.

“Rejim itu masih kuat,” ujar Sahloul. “Pihak tentera masih berpihak kepada rejim dan ia akan mengakibatkan banyak kemusnahan dan kacau bilau sebelum rejim ini runtuh.”

“Sudah pasti rejim ini akan berakhir,” kata Sahloul. “Tiada siapa di Syria yang akan membiarkan rejim ini terus memerintah. Rakyat telah tidak takut lagi, amat mustahil untuk Bashar al-Assad terus memerintah Syria.”

“Ia bukannya soal berapa kebarangkalian ia berlaku, ia adalah soal bila ia berlaku,” ujar Sahloul.

Laporan asal dalam:

http://www.aljazeera.com/indepth/features/2012/08/201281141339576130.htm