Thursday, December 15, 2011

Memali: Sejarah berdarah dan ISA

http://www.malaysiakini.com/columns/181806


Genap 26 tahun lalu, terjadi satu peristiwa penting dalam sejarah politik negara. Sejarah berdarah menyayat hati dan tidak mungkin akan dilupakan.

Pada ketika itu, Malaysia dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri manakala Tun Musa Hitam adalah timbalannya dan menteri hal ehwal dalam negeri.

Peristiwa yang dikenali sebagai "Tragedi Memali" ini berlaku di Kampung Memali yang terletak di bawah mukim Siong, Baling, Kedah.

Daerah Baling merupakan satu daerah yang istimewa kerana banyak peristiwa bersejarah berlaku di situ, seperti Rundingan Baling pada 1955 antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Parti Komunis Malaya (PKM).

Demonstrasi Baling pada 1974 ekoran isu kemiskinan juga berlangsung di tempat sama.

As-Syahid Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya terkorban di tangan anggota keselamatan lengkap dengan pelbagai senjata termasuk senjata automatik dan kereta kebal.

Diberitakan lebih 3,500 anggota keselamatan dikerah oleh kerajaan Malaysia untuk berhadapan dengan Ibrahim Libya dan pengikutnya serta penduduk Kampung Memali.

Pada ketika itu, kerajaan Malaysia menjustifikasikan pembunuhan beramai-ramai itu dengan alasan Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud membawa ajaran sesat.

Kemudian pertuduhan diubah - as-syahid dikatakan membawa fahaman subversif yang berniat untuk mencetuskan huru-hara.

Siapa Ibrahim Libya?

Almarhum Ibrahim dilahirkan pada tahun 1944 ketika Malaya masih lagi dalam genggaman Jepun di Kampung Carok Putih berhampiran dengan Kampung Memali.

Mendapat pendidikan awal tentang Islam dari ayahnya sendiri Tuan Haji Mahmud - seorang guru agama yang disegani di kampungnya.

Ibrahim kemudian melanjutkan pengajian Islamnya di India, Mesir dan Libya. Selepas tamat pengajian, beliau pulang ke tanah air pada awal 1970-an.

Selepas pulang, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai pendakwah di Pusat Islam. Populariti beliau meningkat naik oleh kerana syarahan-syarahan agama yang diberikan dan seringkali diundang untuk berbicara mengenai Islam di RTM1.

Beliau kemudiannya berhenti dari JPM dan bekerja sebagai pegawai dakwah dengan kerajaan Libya. Selepas tamat berkhidmat dengan kerajaan Libya, beliau pulang ke Kampung Memali.

Madrasah didirikan untuk Ibrahim memulakan kelas pengajian agama. Bermulalah kariernya sebagai pendakwah bebas. Kepetahannya berceramah menyebabkan beliau sering diundang berceramah di sekitar negeri Kedah.

Ibrahim Libya kemudiannya menyertai PAS dan pernah bertanding dalam pilihan raya tahun 1978 di kawasan Bayu yang terletak dalam daerah Baling.

Beliau mendapat undi sebanyak 5,081 manakala calon BN mendapat 6,169 undi. Dalam pilihan raya tahun 1982 beliau turut bertanding di kawasan yang sama tetapi kalah.

'Dosa' Ibrahim Libya

Ibrahim Libya menjadi ancaman kepada "pihak-pihak tertentu" yang risau dengan popularitinya. Jika dibiarkan terus berleluasa, beliau akan menjadi ancaman yang lebih besar.

Menurut Senator Yusuf Husin yang penulis temui berberapa tahun lalu, selepas menyertai PAS, Ibrahim Libya menjadi ancaman kepada pemerintah oleh kerana gesaannya dalam setiap ceramah agar perubahan dilakukan terhadap kepimpinan negara.

Inilah puncanya sehingga akhirnya Ibrahim Libya dikehendaki oleh kerajaan Malaysia untuk ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Jika tidak menggunakan ISA, sudah pasti Ibrahim Libya akan memberikan kerjasama dengan syarat beliau dibicarakan di mahkamah.

Oleh kerana ISA menjadi pilihan kerajaan, beliau tidak mahu menyerah dan tunduk kepada undang-undang yang dianggap sebagai kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Pengikut-pengikut dan anak-anak murid Ibrahim Libya juga tidak mahu beliau menyerah diri dan bertindak mempertahankannya.

Kampung Memali di kepung oleh ribuan anggota keselamatan untuk menangkap Ibrahim Libya dan pengikutnya.

Pada 19 November 1985, akhirnya Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya gugur ke bumi sebagai syuhada selepas bertempur dengan anggota keselamatan.

Orang-orang kampung yang hidup ditahan oleh kerajaan Malaysia di bawah ISA termasuklah Yusuf Husin.

Simbol perlawanan terhadap ISA

Ibrahim Libya dan 13 orang lagi yang gugur di Kampung Memali merupakan simbol perlawanan terhebat terhadap ISA.

Seperti yang dikatakan oleh Editor Harakah, Ahmad Lutfi Othman dalam tulisannya sempena ulang tahun ke 25 tragedi Memali tahun lalu:

"Beliau (baca: Ibrahim Libya) menentang akta zalim itu bukan dengan memorandum atau demonstrasi, tetapi mempertaruhkan nyawanya. Dan ini merupakan satu rekod 'termahal' dalam usaha menyanggah ISA."

Benar apa yang dikatakan oleh Ahmad Lutfi itu, tindakan Ibrahim Libya dan para pengikutnya mengorbankan nyawa kerana tidak sujud kepada ISA adalah satu tindakan yang mulia.

Para syuhada Memali sebagai adalah simbol perlawanan terhebat rakyat Malaysia terhadap ISA.

Jika satu hari nanti ISA dimansuhkan, muzium bagi memperingati para syuhada Memali harus dibina agar generasi akan datang tahu bahawa ISA bukan sahaja telah merampas kebebasan ribuan orang tanpa dibicarakan di mahkamah, ISA juga telah menyebabkan nyawa melayang.

Secara peribadi, saya menganggap Tragedi Memali ini masih belum selesai.

Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian atau Truth and Reconciliation Comission harus ditubuhkan untuk menyiasat kembali peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Memali yang berlaku pada tahun 1985 itu.

Hasil penyiasatan haruslah didedah kepada orang ramai dan pesalah-pesalah yang terlibat secara langsung dalam kezaliman ini harus diheret ke mahkamah untuk dibicarakan.

Selepas 26 tahun sejarah berdarah ini berlalu, tragedi Memali terus dikenang. Kampung tempat gugurnya 14 orang syuhada itu menerima pelawat yang ramai sepanjang tahun untuk melihat sendiri saki baki sejarah tragedi Memali yang masih tertinggal.

Begitulah hebatnya Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya. Salut kepada para syuhada. Salut kerana melawan ISA. Salut kepada penduduk Kampung Memali yang berani.


Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Memblog dihttp://www.aminiskandar.blogspot.com/ dan berkicau di www.twitter.com/aminiskandar.

Laungan 'jihad' kapitalis

http://www.malaysiakini.com/columns/182365
Tuan yang saya muliakan,
Ini adalah surat akhir dari saya. Saya berharap dua surat awal dahulu telah membuka mata hati tuan. Saya juga berharap surat awal itu telah memberi sedikit latar untuk kita sama-sama memahami bahawa apa yang kita baca dan apa yang didedahkan di hadapan mata kita sebenarnya hanyalah untuk mengula-gulakan kita semua.

Saya telah menerima banyak kritikan, malah ada juga tempelakan yang menuduh saya cuba melupakan jenayah dan kejahatan Muammar Gadaffi terhadap warga Libya.

Tuan yang saya muliakan,
saya tidak menafikan adanya kezaliman yang memusnahkan hak asasi warga Libya. Saya juga tidak menafikan adanya tahanan politik di Libya. Ada juga suara yang menimbulkan bagaimana Gadaffi telah menindas kumpulan Islam atau memenjarakan ‘jihadis'. Tetapi bukan ini intipati yang ingin saya paparkan.

Dalam hal jihadis Islam, saya agak berhati-hati kerana saya amat sedar peranan Agensi Risikan Pusat (CIA) yang dikatakan turut membina dan menganjurkan jaringan kumpulan Islam. Sejarah politik telah membuktikan bagaimana CIA telah bekerjasama dengan kumpulan yang memanggil diri mereka Muslim.

Dari Indonesia, ke Pakistan, ke Iraq, ke Mesir hinggalah ke Afghanistan, kita bertemu dengan kumpulan ini. Hari ini telah terbukti bahawa Al-Qaeda dan Osama sendiri telah dieram dan dinetaskan oleh CIA. Ini fakta sejarah. Jadi, kita tidak perlu berbuih mulut menelan Viagra untuk menegakkan benang basah ini.

Dalam surat akhir ini saya ingin menyatakan secara terbuka bahawa pendemokrasian Libya bukan tugas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Amerika atau tugas negara Eropah. Mendemokrasikan Libya adalah tugas warga Libya sendiri. Ini sama seperti tugas menumbangkan kerajaan yang dikepalai oleh gerombolan United Malay National Organisation.

Ini kerja politik dalaman warga Malaysia sendiri. Menumbangkan gerombolan United Malay National Organisation bukan kerja Amerika, China, Singapura atau Arab Saudi. Menjatuhkan United Malay National Organisation bukan tugas Nato, Obama atau Sarkozy. Ini tugas anak semua bangsa warga yang cintakan negara kita ini. Saya harap pekara ini jelas.

Untuk sedar apa yang wajib kita lakukan hari ini, maka biar saya surahkan sadikit latar sejarah politik dunia agar kita sama dapat menerima pencerahan - memahami yang dulu agar kita dapat melihat apa yang akan datang.

Dakyah di universiti

Pada tahun 1945, perang dunia kedua tamat. Benua Eropah telah terbahagi kepada dua blok yang mengamalkan dua sistem ekonomi yang berlawanan. Eropah Barat dengan sisetm ekonomi kapitalis manakala Eropah Timur dengan sistem ekonomi sosialis. Sistem ekonomi kapitalis dipimpin oleh Amerika Syarikat manakala sistem ekonomi sosialis dipimpin oleh Rusia yang telah mendirikan Soviet Russia sejak berjayanya Revolusi Bolshevik pada tahun 1917.

Sistem ekonomi kapitalis berkiblatkan keuntungan maksima untuk dimasukkan ke dalam saku kaum pemodal. Manakala sistem ekonomi sosialis berkemudikan kebajikan umum untuk orang ramai. Kesejahteraan ummah menjadi panduan sistem ekonomi sosialis. Dua perbezaan yang amat jelas.

Negara Eropah pengamal sistem kapitalis menganggap negara sosialis sebagai musuh. Perlawaanan dua sistem ekonomi ini dipanggil Perang Dingin. Perlawanan ini cukup sengit dan mengancam dunia. Contohnya pada tahun 1962, peluru berpandu nuklear hampir meledakkan dunia apabila Rusia memasang senjata ini di Cuba yang hanya 200 batu dari pantai Amerika.

Dalam kancah Perang Dingin, kaum pemodal merasa mereka terancam. Mereka tidak dapat mengembangkan modal mereka untuk menjarah dan merembat harta kekayaan negara-negara bekas tanah jajahan di Asia, Afrika dan Amerika Latin. Kaum kapitalis melihat sistem ekonomi sosialis menjadi halangan untuk mereka mengaut keuntungan maksima.

Untuk memastikan keuntungan terus berlipat ganda dan segala rintangan dihapuskan, kaum pemodal telah menggunakan universiti sebagai kubu. Kaum kapitalis telah mengeluarkan dana yang lumayan untuk mengupah pemikir di universiti dan di lembaga-lembaga keilmuan. Para ilmuan dan ahli akademik ini dibayar untuk mengeluarkan buku, kertas kerja atau berkonferensi dengan tujuan mengeluarkan dakyah dan tohmah yang licik dan teratur.

Semua ini dilakukan untuk memastikan sistem ekonomi sosialis ini tidak dapat mengampuh dunia. Radio dan televisyen diwujudkan untuk memastikan kefahaman orang ramai terhadap apa itu sosialisme terus songsang dan tunggang terbalik.

Kempen dan dakyah kaum kapitalis antarabangsa ketika Perang Dingin tidak jauh berbeza dari apa yang sedang dilakukan oleh United Malay Nationaal Organisation terhadap Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

Tipu, bohong, tangkap, beli dan bunuh menjadi garis perjuangan kaum kapitalis. Kalau boleh tipu, maka orang ramai akan ditipu. Kalau bohong boleh menyelamatkan keadaan maka bohong akan sampai. Jika keadaan terus tegang maka penjara akan digunakan. Dalam keadaan selesa, harta, duit dan pangkat boleh digunakan untuk membeli sokongan. Jika semua ini gagal, letupan C4 akan digunakan untuk menenangkan keadaan.

Perang Dingin



Hasil dari kempen yang licik lagi teratur ini, ramai warga dunia telah diperangkap untuk diternak dan diasuh untuk melihat sosialisme sebagai musuh. Dalam reban CIA ini, ternakan yang paling setia datang dari kumpulan-kumpulan yang mengaku memperjuangkan Islam.

Kumpulan ini terpengaruh dengan dakyah CIA yang mengatakan sosialisme tidak percaya kepada Tuhan. Kumpulan ini telah tidak mendapat penerangan secara tuntas tentang sosialisme sebagai satu sistem ekonomi, bukannya agama atau sistem kepercayaan. Sama seperti sistem ekonomi kapitalis, sistem ekonomi sosialisme juga tidak beragama dan tidak bertuhan.

Di negara-negara yang majoriti penduduknya menganut Islam, kumpulan Islam ini telah digunakan untuk menentang parti sosialis, parti komunis atau parti yang menentang kapitalis. Dengan bijaknya, kaum pemodal Anglo-Amerika telah berjaya menetaskan budak-budak suruhan mereka untuk mempertahan sistem ekonomi kapitalis. Usama bin Laden dikatakan termasuk dalam bakul ini.

Tuan yang saya hormati,
Surah diatas telah berlaku di zaman Perang Dingin. Serangan dan kepungan kaum pemodal Anglo-Amerika telah berjaya meruntuhkan sistem ekonomi kapitalis. Pada tahun 1989, Tembok Berlin runtuh dan negara Eropah Timur kembali menjadi pengamal sistem ekonomi kapitalis.

Sekali lagi kaum pemodal antarabangsa telah mengupah para pemikir dan ilmuan untuk merencana satu strategi baru - strategi pasca Tembok Berlin. Para pemikir kanan yang telah lama bersarang di Rumah Putih telah menetaskan apa yang dipanggil Project for the New American Century (PNAC).

Para pemikir yang menelurkan PNAC ini adalah ahli falsafah kanan dan saki baki wira-wira dan 'penjihad' Perang Dingin. Kekalahan Rusia dalam Perang Dingin telah meyakinkan mereka bahawa anak semua bangsa dalam dunia tidak ada lagi pilihan melainkan menghambakan diri bawah telunjuk empayar Amerika.

Falsafah PNAC inilah yang telah dan sedang digunapakai oleh pentabiran Rumah Putih semenjak George W Bush menjadi presiden. Falsafah PNAC ini bukan susah untuk difahami. Asas utamanya: Amerika menang dalam Perang Dingin, maka Amerika tidak akan membenarkan negara mana pun berpeluang untuk menandingi kekuatan mereka, seperti di zaman bertelagah dengan Rusia dahulu.

4 rukun PNAC

Amerika akan memastikan tidak ada negara baru akan muncul dengan berani, bersaing atau menandingi kekuatan bala tentera Amerika.

PNAC memiliki empat rukun fahamannya:

  • Amerika perlu meneruskan perbelajaan persenjataan.
  • Amerika wajib menyokong kawan dan menibai musuh yang bertentangan dengan budaya dan sistem Amerika.
  • Kebebasan politik dan ekonomi kapitalis wajib diluaskan ke seluruh dunia.
  • Amerika wajib menerima tanggungjawab yang unik untuk menjaga dan mengawal dunia agar dunia ini aman untuk keselamatan, kekayaan dan dapat ditegakkan prinsip yang dipegang Amerika.


Tuan yang saya muliakan,
Apa yang ingin saya terangkan dalam surat akhir ini, kita semua pada ketika ini dalam kongkongan empayar Amerika. Dari laporan tahun 2003 untuk Jabatan Pertahahan Amerika, kita diberitahu bahawa pada ketika ini Amerika memiliki 6,000 buah pengkalan tentera dalam negara.

Amerika juga memiliki 702 pengkalan tentera laut, darat dan udara di 130 buah negara dalam dunia ini. Ada yang disewa dan ada yang diikat dengan penjanjian persenjataan. Seramai 253,288 soldadu Amerika bertugas dipengkalan luar negara ini. Seramai 44,446 anak tempatan bekerja di pengkalan-pengkalan Amerika ini.

Apakah maknanya semua ini?

Apa yang ingin saya terangkan di sini, pembunuhan Saddam Hussein, pembunuhan Gadaffi, kacau di Iran, kacau di Pakistan, kacau di Syria, semua ini hanyalah babak-babak penlaksanaan rukun PNAC.

Apakah tuan tidak sedar bahawa rancangan untuk menyerang Iraq telah wujud lebih awal lagi, iaitu pada bulan September 2000 lagi. Menyerang Iraq dan mengubah sistem politik Iraq adalah sebahagian dari rancangan PNAC. Rancangan ini telah ditelurkan oleh para pemikir kanan PNAC satu tahun sebelum Bush menjadi presiden.

Tuan yang saya muliakan,
Sebelum saya akhiri surat ini, ingin saya nyatakan bahawa ledakan dua pesawat udara ke bangunan WTC di New York pada 9 September 2001 itu juga adalah sebahagian dari perancangan dan strategi yang telah ditelurkan oleh PNAC.

Ledakan itu telah terbukti sebagai ‘kerja orang dalam' sebagai strategi untuk memastikan falsafah PNAC diterima oleh warga Amerika. Warga Amerika perlu dikejutkan dahulu dan kemudian dilalikan dengan falsafah PNAC. Pasti ramai yang akan menangkis apa yang saya tulis ini sebagai fakta sasau dan hujah dari perawi gila. Tidak mungkin Amerika membunuh 3,000 warganya sendiri?

Untuk ini, jawapan saya hanya berdasarkan angka dan jumlah. Ketika saya menulis artikel ini, 1,455,590 warga Iraq telah gugur. Angka kedua, seramai 4,801 soldadu Amerika telah juga tewas di Iraq dan 2,794 lagi di Afghanistan. Pada hemat saya, kaum kapitalis yang berkiblatkan keuntungan tidak mempedulikan nilai nyawa manusia - sama ada manusia warga negara atau warga luar negara.

Tuan yang saya muliakan, rasa saya tugas kita pada ketika ini untuk melihat babak babak yang terbuka di hadapan mata kita dengan kaca mata yang tajam, dengan hati yang jujur. Saya berharap tuan dapat menganalisa satu perisiwa dari dalam atau dari luar negara dengan tepat.

Hendaknya janganlah tuan cepat meloncat apabila mendengar laugan jihad. Bukalah mata dan pasang telinga untuk berhati-hati kerana CIA dan para sekutunya juga pandai melaungkan slogan jihad.

Tuan juga boleh mendengar slogan ini dilaungkan di mana-mana. Malah tidak lama lagi, tuan akan mendengar laungan berjihad yang kuat dari Rosmah dan Najib. Mereka baru sahaja pulang dari Mekah dan telah meminum air dari telaga Zamzam.