Sunday, November 13, 2011

Surat kedua tentang Gaddafi

Tuan yang saya hormati,
Surat pertama saya minggu dahulu tentang Muammar Gaddafi telah mendapat pelbagai reaksi. Ada yang bersetuju. Dan ramai juga yang tidak bersetuju dengan pandangan saya itu. Kepada mereka yang bersetuju saya meminta mereka untuk terus membaca dan mengkaji. Kepada mereka yang tidak bersetuju maka saya arahkan surat kedua saya ini kepada mereka.

Untuk memulakan surah biar saya nyatakan di sini tentang dua patah perkataan. Dua perkataan ini adalah jampi dan mantra geopolitik hari ini. Dua perkataan ini adalah realpolitik yang sedang berlaku di hadapan mata kita. Jika kita memiliki makrifat tentang dua perkataan ini maka kita akan memahami apa yang sedang berlaku dalam dunia hari ini.

Pertama, minyak. Kedua, China. Dua perkataan ini adalah kunci untuk kita memahami makrifat politik dunia. Memahami politik dunia akan membantu kita untuk memahami politik dalaman Malaysia. Gagal memahami minyak dan China, maka kita akan gagal dalam menganalisa situasi politik. Analisa politik yang tidak tepat akan membuatkan kita memilih taktik dan strategi yang salah dalam pejuangan untuk menumpaskan kezaliman, untuk mendirikan keadilan.

Tuan yang saya muliakan,
Pasti tuan akan bertanya apa hubungan minyak dan China dengan wafatnya Muammar Gadaffi?

Tuan yang saya muliakan, dalam surat saya yang lalu telah saya nyatakan bahawa banyak syarikat minyak antarabangsa tidak dibenarkan menjarah minyak di Libya. Libya bukan macam Kuwait atau Brunei di mana Shell, BP, Cheveron, Esso atau Exxon bebas untuk menjarah harta kekayaan negara. Gadaffi melarang syarikat antrabangsa ini masuk dengan sewenang-wenangnya.

Apakah tuan tidak percaya dengan surah saya ini? Biar saya bawa tuan kembali untuk mengingati sejarah pada 5 April 1986. Pada malam itu sebuah bom telah meletup di dalam sebuah kelab malam di Berlin. Tiga soldadu Amerika gugur. Rumah Putih di bawah Ronald Reagan ketika itu mengambil tindakan balas dengan mengebom Libya pada 14 April. Sasaran pertama ialah rumah kediaman Gadaffi sendiri. Seramai 50 orang warga Libya gugur termasuk anak perempuan Gadaffi sendiri.

Tindakan Ronald Reagan ini berdasarkan kenyataan seorang saksi yang bernama Mushad Eter. Tetapi dari stesen televisyen Jerman ZDR yang menyiarkan program siasatan pada 28 Ogos 1998, didapati bahawa Mushad Eter ini ajen CIA. Dan orang yang bertanggungjawab meletakkan bom ke dalam kelab malam itu ialah Mahammed Aamir, seorang ajen Mossad dari Israel.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah rancangan untuk membunuh Gadaffi ini telah lama berjalan. Fail "mesti bunuh Gadaffi" telah ada di meja CIA semenjak tahun 70-an lagi. Jika tuan masih tidak yakin dengan surah ini biar saya buka satu lagi surah. Kali ini saya adalah perawi sahih kerana ketika pesawat udara Pan Am Flight 103 meletup di Lockerbie pada 21 Disember 1988, saya masih lagi tinggal di kota London. Saya mengikuti - membaca dan menonton - dengan rapi sekali kes ini.

Trajedi udara di Lokerbie telah menewaskan 270 penumpang. Dengan serta merta Ronald Reagan telah menuduh Gadaffi dan Libya di sebalikany. Kerajaan British bawah Magaret Thatcher amat bersedia untuk mengikut telunjuk Ronald Reagan. Majlis Keselamatan PBB telah mengambil langkah membuat sekatan keatas Libya. Dua warga Libya Abdel Basset Al Megrahi dan Al Amin Khalifa telah ditangkap dan didapati bersalah. Tetapi kaum keluarga yang gugur merasa tidak puas hati dan mereka membuka kes ini sekali lagi.

Pada bulan Ogos 2005 ketua pendakwa raya mahkamah Scotland telah membuat kenyataan bahawa bukti baru telah ditemui. Bom jangka dalam kapalterbang tidak dipasang oleh warga Libya tetapi dipasang oleh ajen CIA. Saksi utama seorang penjual kain baju di Malta telah mengaku bahawa dia telah dibayar sebanyak 2 juta dolar oleh CIA untuk memberi keterangan palsu dan mengkaitkan Libya.

Memasang bom dan kemudian menuduh orang lain melakukannya bukan satu taktik yang baru. Kita pernah mendengar bagaimana orang bercakap tentang polis meletakan dadah atau parang sebagai bahan bukti.

Di Malaysia sendiri kita semua telah melihat bagaimana Mahathir Muhamad dikaitkan dengan rancangan kes rampasan senjata di Sauk pada 31 Ogos 2000. Dikatakan tiga buah Pajero telah berjaya mengambil senjata seberat tiga tan dalam masa 15 minit. Mahathir telah menuduh kumpulan silat Al-Maunah. Sebenarnya perkara ini dianggap sesetengah pihak sebagai persediaan Mahathir untuk menggunakan ISA terhadap gerakan reformasi. Ini terbukti sahih: Pada 10 April 2001 seramai sepuluh orang aktivis reformasi telah ditangkap bawah ISA.

Letupan bom di Berlin dan kapal terbang di udara Lockerbie terbukti kerja jahat CIA. Kenapa semua ini dilakukan? Jawapannya cukup senang. Minyak. Minyak. Minyak. Gadaffi tidak membenarkan syarikat minyak antarabangsa menjarah Libya. Justeru Gadaffi wajib dilupuskan.

Tuan yang saya muliakan,
Saya telah banyak menulis untuk menerangkan bahawa tamadun moden hari ini adalah tamadun minyak. Kalau dulu manusia telah melintasi Zaman Batu, Zaman Gangsa, Zaman Wap, hari ini saya namakan tamadun Zaman Minyak. Ini kerana asas ekonomi dunia kapitalis hari ini ialah minyak. Tanpa bahan bakar petrol dunia kapitalis dan sistem ekonomi kapitalis akan runtuh. Justeru kita semua wajib menerima hakikat bahawa bahan bakar petrol ini adalah kunci sistem ekonomi kapitalis.

Kuasa kolonial Eropah - Jerman, British, Itali, Perancis , Belanda, Belgium - semuanya ada memiliki tanah jajahan di Afrika. Sesudah biji durian dimakan kulitnya dibuang. Inilah sikap penjajah. Negara kolonial Barat telah meninggalkan Afrika tempang, mundur dan miskin. Afrika tidak lagi menjadi wilayah yang menarik untuk kaum kapitalis melabur seperti di Siam, Malaysia atau Korea. Di sini negara China - negara kapitalis yang baru bangun - tanpa segan silu telah masuk ke Afrika untuk melabur.

Libya menjadi bagitu penting untuk China kerana kedudukan Libya betul-betul di tengah-tengah benua Afrika. Di Selatan Libya terbentang padang pasir yang membuka benua Afrika manakala di utara ialah Laut Tengah. Ketika Libya diserang Nato ada lebih kurang 75 buah syarikat China dengan 36,000 tenaga kerja. Mereka sedang membina bangunan, lebuh raya dan mendirikan infrastruktur pembangunan.

Tiga syarikat minyak China - CNOC, Sinopec Group dan CNOOC beroperasi mencarigali di Libya. Ketika diserang oleh Nato, Libya membekalkan China 150,00 tong minyak sehari. Ini adalah 3 peratus dari keseluruhan keperluan China dan ia hanyalah 1/10 eksport minyak Libya. Secara nisbah Libya menjadi negara pembekal minyak yang amat penting untuk China.

Hari ini ekonomi China adalah ekonomi kapitalis yang kedua terbesar di dunia sesudah Amerika Syarikat. Tidak berapa lama lagi kekuatan ekonomi Amerika akan diambil alih oleh ekonomi China. Kekuatan ekonomi Amerika Syarikat akan menjadi sejarah. Fakta ini diketahui oleh CIA, diketahui oleh Rumah Putih, diketahui oleh Israel. Apabila kuasa ekonomi merudum, bermakan kuasa politik akan merudum sama. Ini makrifat realpolitik.

Untuk ekonomi China berkembang dan terus bergerak, bahan bakar petrol amat diperlukan. China memerlukan minyak mentah bukan sahaja dari Afrika malah dari mana sahaja. Justeru, China telah melabur di Sudan, di Dafur, di Chad. Fakta ini bukan satu rahsia.

Kalau membuka kembali sejarah terdekat kita akan membaca bagaimana syarikat minyak China telah diketepikan di Iraq oleh pentabiran Amerika sesudah Saddam dibunuh. Perjanjian carigali antara syarikat China dengan Iraq lupus. Wilayah carigali yang telah diberikan kepada China diambil alih oleh syarikat minyak Amerika - yang selama ini tidak dibenarkan masuk ke Iraq oleh Saddam. Perkara yang sama akan berlaku di Libya.

Tuan yang saya hormati,
Apa yang ingin saya katakan di sini ialah wujudnya persaingan yang maha hebat antara Amerika dengan China. Sayugia diingatkan dari strategi ketenteraan , China adalah musuh Amerika. China dianggap berpotensi untuk bangun, malah berkemungkinan mengalahkan Amerika. Justeru dari awal lagi strategi ketenteraan Amerika ialah merancang untuk mengepong China. Amerika merancang untuk memastikan China tidak akan dapat membangunkan ekonominya secara terancang dan berkemungkinan menggugat ekonomi Amerika.

Tuan yang saya hormati,
Dalam persaingan dua kuasa gergasi ini - dalam percaturan real politik Amerika dan China - Saddam, Gadaffi, Mahathir, Anwar Ibrahim, Najib Razak - hanyalah pak pacak yang dijemput menayangkan muka atau ditendang keluar apabila tidak diperlukan lagi. Tuan pasti menganggap bunyinya amat kasar. Sahih, memang kasar, tetapi dalam dunia kapitalis yang halus hanya kuasa bala tentera. Kuasa ini bertujuan untuk mencari keuntungan. Justeru, Gadaffi di Libya dianggap sebagai penghalang untuk penerusan strategi politik, ekonomi dan ketenteraan Amerika.

Saya berharap tuan pernah membaca atau sekurang-kurangnya mendengar tentang AFRICOM - Africa Command - yang diwujudkan pada tahun 2007. Ini adalah perjanjian ketenteraan antara Amerika Syarikat dengan negara-negara Afrika. Amerika mahu 54 buah negara Afrika membuat perjanjian ketenteraan bawah AFRICOM. Ini samalah seperti Five Power Defense Arrangements (FPDA) antara Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan Britain. Perjanjian ini untuk memastikan Malaysia akan terus berada bawah telunjuk Britain.

Biar saya beritahu di sini bahawa Libya bawah Gadaffi bukan sahaja tidak mahu menyertai AFRICOM malah telah menjalankan aktiviti melawan AFRICOM. Lembaga ini bercadang untuk menubuhkan satu bala tentera Afrika yang bersatu bawah perintah tentera Amerika. Opps, hampir saya terlupa, walau pun namanya AFRICOM, ia beribu pejabat di Stuggart, Jerman!

Gaddafi sebagai anak terbaik dari benua Afrika, sebagai anak terbaik dunia Arab telah menyusun strategi untuk menentang AFRICOM. Pada persidangan African Union Febuari 2008 satu ketetapan diambil untuk menolak AFRICOM. Ini satu tamparan keatas kuasa imperialis Anglo-Amerika. Gaddafi menentang kuasa bala tentera imperialis Anglo- Amerika. Justeru, Gaddafi wajib dibunuh.

Hampir saya terlupa - sebelum Raja Idris dijatuhkan oleh Gaddafi pada tahun 1969 - Amerika Syarikat memiliki sebuah lapangan terbang tentera yang terbesar di dunia - Wheelus Air Base. Apabila Gadaffi mengambil alih Libya, lapangan terbang ini ditutup. Satu lagi jenayah Gaddafi.

Tuan yang saya muliakan,
Semua yang saya tulis ini tidak dapat dibaca dalam media antarabangsa. Ini kerana mereka berkepentingan untuk menjatuhkan Gaddafi. Manakala penulis media tempatan, mungkin kerana malas atau kerana mereka tidak mengambil Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris - maka mereka tidak berkeupayan untuk menulis.

Jawapan saya tentang Gaddafi

Tuan yang saya muliakan,
Tuan menulis kepada saya dan bertanya kenapa saya memberi penghormatan kepada Gadaffi? Kenapa saya tidak menulis dan mengutuk Kolonel Gadaffi?

Tuan terus bertanya dan menghambat dengan soalan kenapa saya bersimpati dengan seorang ditaktor yang merampas kuasa semenjak tahun 1969?

Tuan bertanya apakah saya tidak tahu bahawa selama 42 tahun ini Libya tidak pernah melihat kepimpinan selain dari Kolonel Gadaffi? Kenapa saya tidak menulis tentang kezaliman yang berlaku di Libya.

Tuan yang saya muliakan,
Saya juga disedarkan bahawa Kolonel Gadaffi ini memberi pembelajaran percuma dari sekolah rendah hingga universiti di Libya. Saya juga sedar bahawa Gadaffi memberi warga Libya perubatan percuma.

Saya juga sedar yang Gadaffi menggunakan duit minyak petrol untuk membuat rumah dan memberikan secara percuma kepada warga Libya.

Saya juga sedar Gadaffi memberi sokongan kepada banyak perjuangan pembebasan antarabangsa pada tahun-tahun 70'an dahulu.

Sokongan dana dan diplomatik diberikan pada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Tentera Merah Jepun, Tentera Republik Rakyat Ireland (IRA) dari Ireland Utara, Euskadi Ta Askatasuna (ETA) dari Sepanyol, termasuk menyokong dan memberi dana kepada Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dari Mindano.

Dalam masa yang sama, saya amat sedar bahawa ruang demokrasi amat sempit di Libya. Saya sedar Gadaffi memerintah Libya tanpa ada pemilihan. Gadaffi naik tahta kerana rampasan kuasa. Dalam hal ruang demokrasi saya tidak bersama menyokong Gaddafi.

Malah ketika Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Melaya (PBMUM) mengangkat dan menjulang Kolonel Gadaffi pada tahun 70 dahulu, saya secara sinis mentertawakan kumpulan ini.

Ketika itu Gaddafi sedang menjual agama dengan "Buku Hijau" karangannya. Gadaffi membuat Buku Hijau kerana Pengerusi Mao ada "Buku Merah".

Buku Hijau

Saya tersenyum sinis apabila melihat kumpulan-kumpulan Islam amat senang ditipu. Saya perhatikan mereka memiliki kecetekan fikrah dan gagal untuk memahami konsep ruang demokrasi yang lebih luas.

Ini berlaku lebih 30 tahun dahulu. Ini ketika saya bangun menyokong perjuangan adil rakyat Vietnam. Kita menyokong pejungan rakyat Kemboja. Kita anak muda keluar ke jalan raya untuk bersetiakawan dengan rakyat Palestin dan warga Afrika Selatan.

Ketika itu anak muda seluruh dunia bangun melawan kuasa imperialis Anglo-Amerika.
Biar saya jelaskan di sini. Saya tidak pernah menghalalkan apa sahaja bentuk kezaliman, sama ada kezaliman yang dilakukan kerana idealogi kiri seperti di Russia dan China; atau kerana dogma agama di Iran dan Pakistan; atau atas nama keselamatan seperti di Malaysia dan di Israel.

Kezaliman adalah kezaliman tidak kira dari mana datangnya. Yang dizalimi tetap terseksa.

Tuan yang saya hormati,
Di sini biar saya luaskan pandangan siasah agar kita bukan hanya memahami Gaddafi dengan Buku Hijau atau melalui Libya tanpa pilihan raya.

Saya ingin membuka wacana yang lebih luas. Dalam bahasa Jerman, saya ingin membuka wacana realpolitik - politik yang dieja dengan huruf k.

Saya harapkan apa yang saya huraikan ini akan membuka fikrah kita bersama untuk melihat tanda dan makna politik yang sedang berlaku di hadapan mata kepala kita.

Tuan yang saya hormati,
Libya ialah anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) - negara pengeluar minyak. Ertinya Libya negara kaya.

Ertinya jika duit minyak tidak digunakan secara membazir, atau digunakan hanya untuk isteri Gadaffi membeli intan berlian dari kedai Jacob di New York atau membeli beg tangan Jane Birkin - sudah pasti warga Libya hidup lumayan.

Ini tidak berlaku di Libya justeru pendapatan warga Libya adalah yang tertinggi di Afrika.

Tibai Arab Saudi


Sebagai anggota OPEC, kelihatan Libya bawah pimpinan Kolonel Gadaffi selalu membantah keputusan dan cadangan OPEC yang diajukan oleh Saudi Arabia.

Arab Saudi sering mengajukan dasar pengeluaran minyak yang tidak akan menggangu gugat sistem ekonomi kapitalis yang dikepalai Amerika Syarikat. Saudi mahu harga minyak petrol terus rendah.

Amat jelas raja Saudi budak suruhan Amerika yang paling setia. Raja Saudi akan menjaga kepentingan ekonomi kapitalis Amerika lebih baik dari menjaga makam Nabi. Dasar Saudi yang pro- Amerika inilah yang sering ditibai oleh Gadaffi.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini, dalam politik antarabangsa Gadaffi ialah sosok antiimperialis. Justeru sokongan Libya terhadap gerakan pembebasan antarabangsa pada tahun tahun 70-an dahulu wajib dilihat dalam konteks ini.

Kerana anti imperialis ini Gadaffi ialah ‘ budak jahat' dalam kitab rujukan Rumah Putih. Kolonel ini tidak disukai oleh kuasa Anglo-Amerika. Kolonel Gadaffi tidak disukai oleh Shell, Esso, BP atau Cheveron Oil kerana semua syarikat ini dikekang masuk menjarah minyak di Libya.

Dalam pandangan geopolitik kaum imperialis dan kaum pemodal antarabangsa, Gaddafi membuat beberapa kesalahan. Biar saya terangkan kesalahan Gadaffi ini.

Kesalahan-kesalahan inilah yang membuatkan bala tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menyerang Libya dan membunuh Gadaffi.

3 'kesalahan' kolonel

Tuan yang saya muliakan,
Barkan saya senaraikan satu demi satu kesalahan Kolonel Gadaffi ini. Diharapkan tuan terbuka mata dan hati untuk memahami siasah dunia dengan lebih lengkap. Jika tuan memahami ini, maka saya berharap tuan memahami kenapa saya menyokong Gadaffi.

Pertama:
Gaddafi mengeluarkan dana lebih dari AS$300 juta untuk membuat sistem satelit Afrika. Sistem satelit ini membolehkan 42 negara Afrika berkomunikasi bebas dari kongkongan sistem komunikasi syarikat Eropah.

Saban tahun, sebelum adanya sistem satelit Afrika ini, negara Afrika terpaksa membayar AS$500 juta harga sewaan setahun. Gaddafi membebaskan negara Afrika. Kaum pemodal antarabangsa lesap pendapatan sebanyak AS$500 juta setahun.

Kedua:
Gadaffi merancang untuk menubuhkan Tabung Kewangan Afrika (AMF). Lembaga AFM ini berperanan seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) - meminjamkan dana untuk negara Afrika yang memerlukan.

Bezanya AMF ini bukan untuk mencari keuntungan. AMF ini bukan untuk memberi hutang atau menjadi along untuk negara Afrika. AMF bertujuan membebaskan negara-negara Afrika dari sistem penjajahan ekonomi yang sedang memiskin benua itu.

Lembaga AFM ini juga akan mewujudkan Bank Pusat Afrika yang beribu pejabat di Abuja, Nigeria. Ini bererti, nilai duit Afrika bukan lagi ditetapkan oleh dolar, bukan lagi ditetapkan oleh pound sterling atau euro. Dengan wujudnya bank pusat ini maka putuslah penjajahan ekonomi kaum pemodal antarabangsa dengan benua Afrika.

Gadaffi juga akan mewujudkan Bank Pelaburan Afrika yang beribu pejabat di Libya. Tujuan bank ini untuk mencari modal dan melabur di negara-negara Afrika. Semua lembaga kewangan ini akan diwujudkan pada tahun 2011.

Semua perancangan berjalan dengan lancar. Semua perjanjian telah ditandatangani. Kini semuanya tinggal impian. Kini semuanya dimusnahkan oleh serangan Nato.

Ketiga:
Kuasa imperial Anglo-Amerika tidak mahu Afrika bebas. Kuasa imperialis mahu rakyat Afrika terus bodoh dan dibodohkan. Ramai warga Afrika datang belajar di Libya. Sistem pembelajaran percuma di Libya menjadi ancamaan kepada kaum pemodal.

Bertambahnya warga Afrika yang bijak bermakna berkuranganlah pengaruh pemodal antarabangsa di Afrika. Justeru, kaum pemodal antarabangsa mahu Afrika terus diperintah oleh ditaktor seperti Mobutu Sese Seko, Idi Amin Dada atau emperor seperti Bokasa.

Anak muda melawan Gaddafi?

Melalui Kolonel Gadaffi, Kesatuan Afrika menjadi organisasi yang bukan sahaja beretorik tetapi berupaya melakukan sesuatu. Melalui duit minyak, Gadaffi menyalurkan dana yang banyak ke negara-negara Afrika.

Ini dilihat oleh kaum pemodal sebagai sesuatu yang bahaya, sebagai satu ancaman. Bahaya kerana jika Afrika bangun membina negara mereka sendiri, maka kaum pemodal antrabangsa akan kehilangan tempat untuk merompak dan menjarah kekayaan.

Tuan yang saya hormati,
Tiga pekara yang dilakukan oleh Gadaffi ini dengan terang-terang menentang kepentingan kaum kapitalis antarabangsa. Semua ini jenayah Gadaffi terhadap kaum pemodal antrabangsa. Semua ini kesalahan Gadaffi terhadap imperialis Anglo-Amerika.

Jelas, apa yang saya tuliskan bukan jenayah Gadaffi terhadap warga Libya. Ini bukan bermakna Gaddaf seorang sosialis. Tidak. Apa yang Gaddafi lakukan secara jujur dia ingin membebaskan Afrika dari cengkaman pemodal antarabangsa.

Tuan yang saya hormati,
Pekara yang saya tulis ini tidak akan dilaporkn oleh CNN, BBC, New York Times, Washington Post atau pun Utusan Melayu. Tidak ada media arus perdana yang berani menyentuh pekara ini.

Laporan yang kita baca, dengar dan tonton hanya menyatakan warga Libya bangun menentang Kolonel Gadaffi. Apakah ini betul?

Saya hanya ada satu pemintaan kepada tuan yang saya hormati. Sila cari gambar, sila cari klip di YouTube, sila selidiki semua media dunia, adakah pernah tuan ternampak beribu-ribu anak anak muda berkumpul menentang Gadaffi seperti di Dataran Tahrir?

Adakah tuan pernah terlihat gambar puluhan ribu rakyat Libya berdemonstrasi seperti perhimpunan BERSIH pada 7 Julai dahulu? Atau pernahkah ternampak gambar beribu-ribu anak anak muda berdemonstrasi dan terus bermalam berminggu-minggu di Benghazi?

Tidak.

Tuan jangan membuang masa. Imej ribuan anak muda Libya berdemonstrasi ini tidak wujud kerana bukan warga Libya yang bangun menyerang kerajaan Gadaffi. Yang datang menyerang ialah soldadu upahan Amerika dan jet pengebom Nato yang bertungkus lumus siang dan malam menyerang Libya.

Sejarah Libya ini tidak tamat di sini. Saya akan sambung lagi minggu hadapan.

Wednesday, November 9, 2011

dakah Marina juga dajal di sisi Perkasa?

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6412-adakah-marina-juga-dajal-di-sisi-perkasa
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Adakah Datin Paduka Marina Mahathir juga dajal di sisi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kerana menyokong dan pernah merasmikan program Seksualiti Merdeka sebelum ini?

Ketika membangkitkan persoalan itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau hairan mengapa Marina tidak didajalkan oleh Perkasa atau mana-mana "pertubuhan rasis yang setiap hari berbohong kononnya memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam".

"Mengapa tidak ada seorang pun dari gerombolan itu yang mendajalkan, menuntut supaya dilucutkan kewarganegaraan Marina dan dihalau dari negara ini?

"Tak tahulah kalau-kalau (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) yang dilaporkan sebagai penaung Perkasa atau (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk) Mukhriz (Mahathir) yang akan tampil sebagai junjungan besar puak itu dan mendajalkan serta menuntut dilucutkan kewarganegaraan Marina serta dihalau dari negara ini.

"Maklumlah, sebelum ini Perkasa melabelkan Ambiga sebagai dajal dan menuntut supaya ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyokong program songsang itu dan beberapa pertubuhan rasis pula menuntut dilucutkan kewarganegaraannya dan dihalau dari negara ini," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz menyifatkan sifat membisu pertubuhan-pertubuhan rasis dan pembohong itu terhadap Marina sebagai bukti yang tidak dapat disangkal lagi yang memperjelaskan kepada rakyat bahawa penentangan mereka terhadap Seksualiti Merdeka bukan didorong oleh kesedaran agama dan moral tetapi semata-mata diapi-apikan oleh hawa nafsu oportunis untuk menghukum Ambiga yang pernah terlibat menuntut pilihan raya adil dan bersih.

"Bila anak Dr Mahathir bertegas dengan pendiriannya, mereka tutup mulut rapat-rapat. Sikap dan perangai mereka jelas membuktikan bahawa bukan Tuhan, halal haram dan akhlak yang menjadi perkiraan dan penyebab tindakan mereka.

"Apa mereka peduli tentang Tuhan, halal haram dan akhlak sedangkan tidak henti-henti nafsu oportunis mereka menggasak upah dari pemimpin-pemimpin perasuah dan perompak harta negara?" tegas beliau.

Pertubuhan-pertubuhan rasis itu, kata Mahfuz, tidak pernah lantang pun sebelum ini tentang keruntuhan akhlak dan kebejatan moral.

"Bersepah-sepah kelab-kelab maksiat, lorong maksiat serta sarang pelacuran dan pondan, mereka tidak ambil peduli, kerajaan tidak ambil peduli dan polis juga tidak mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan sebarang pengharaman.

"Agaknya kerana Ambiga tidak merasmikan kelab, lorong dan sarang-sarang itu," sindir beliau.

Mahfuz yakin, sebahagian besar rakyat merasa amat jijik apabila orang-orang yang diketahui umum sebagai pemakan upah dan pembodek pemimpin-pemimpin perasuah dan perompak harta negara bercakap tentang ugama semata-mata untuk mengapi-apikan sentimen umat Islam.

"Dengan penglibatan Ambiga merasmikan Seksualiti Merdeka, dapatlah juga mereka bercakap fasal agama dan akhlak walaupun nampak sangat penuh kepalsuan dan bercakap semata-mata demi kepentingan perut dan nafsu mereka.

"Kalau tidak, mereka asyik memikirkan cara-cara untuk menggasak upah dari pemimpin perasuah dan perompak harta negara. Itu sahaja kerja mereka, tak habis-habis," katanya lagi.

Mahfuz berharap umat Islam yang menolak dan menentang Seksualiti Merdeka melakukannya semata-mata dengan niat untuk menjunjung peraturan dan ajaran Allah serta mencari keredhaan-Nya.

Tuesday, November 8, 2011

KM Melaka minta nama Islam pada SIS ditarik

Penggunaan perkataan 'Islam' dalam nama Pertubuhan Bukan Kerajaan, Sisters In Islam (SIS), perlu ditarik balik berikutan dakwaan sokongan terhadap program Seksualiti Merdeka 2011.

rustam ali silat group bersih 4Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, akibat sokongan itu, pihak berkuasa khususnya pendaftar pertubuhan perlu mengambil tindakan menarik balik penggunaan perkataan Islam itu.

Menurutnya, tindakan SIS yang didakwa menyokong program berkenaan adalah amat dikesalkan kerana tidak selari dengan nama Islam yang dibawa pertubuhan itu.

"Saya dapati SIS ini sering mengelirukan orang ramai, termasuklahsokongan terhadap program Seksualiti Merdeka ini.

"Perkara ini mudah sahaja. Kalau sudah haram, maka haramlah ia. Tidak perlu hendak dipertikai atau dibincangkan lagi.

"Saya harap pihak pendaftar akan tarik balik penggunaan perkataan Islam itu. Gunalah nama Sisters In apa sekalipun, asalkan bukan Islam," katanya.

Pada masa sama, Mohd Ali turut menasihatkan masyarakat supaya tidak melibatkan diri atau menyokong sebarang aktiviti berkaitan program berkenaan.

NONEMenurutnya, tindakan segera perlu diambil bagi menangani gejala homoseksual dan lesbian supaya ianya tidak berleluasa di negara ini.

"Mana ada agama dalam dunia yang benarkan lelaki berkahwin dengan lelaki dan wanita dengan wanita?

"Kalau dibiarkan, negara kita akan menjadi seperti negara Eropah, di mana perkara ini berleluasa. Kalau kita benarkan satu, lambat-laun ia akan semakin merebak," katanya.